Jenayah

Peguam Tidak Mengaku Pindah RM6.9 Juta Wang Haram

PETALING JAYA: Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas 34 pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM6.9 juta, dua tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat J Shanti, 49, sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah dan Hakim Hilmiah Yusof.

Memetik laporan BH Online, berdasarkan pertuduhan pertama hingga ke-34, ibu kepada empat anak itu didakwa memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM6,870,872.15 yang juga hasil daripada aktiviti haram daripada akaun milik Tetuan Shanti Jeyapalan, Zeti Zulfah & Partners, yang mana tertuduh adalah rakan kongsi, ke dalam beberapa akaun milik pelanggannya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh, di Maybank Berhad Cawangan Taman Tun Dr Ismail dan Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Ara Damansara, di sini, antara 30 April dan 17 November 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Husmarudin Husin tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan itu adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Lim You Ping memohon mahkamah membenarkan jaminan munasabah terhadap anak guamnya atas alasan dia mempunyai empat anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM560,000 oleh seorang penjamin dengan syarat tambahan, pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 5 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");