Isu Panas

Pembangkang Gesa PAC Siasat Urus Niaga Mara Inc

PETALING JAYA – Pakatan Harapan menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat semula urus niaga jual beli hartanah melibatkan Mara Inc, didakwa diselewengkan.

Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PAC perlu siasat dan serta-merta membentangkan laporan pada sidang pertama penggal keenam Parlimen ke-13 yang akan bermula 5 Mac ini.

“Amat menyedihkan ketika biasiswa dan peruntukan pendidikan Mara dipotong, ketirisan sebanyak RM60 juta berlaku akibat penyelewengan dan kepincangan tadbir urus,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, semalam lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, ia adalah catatan terkini senarai panjang kepincangan dan kebobrokan yang berlaku di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Wan Azizah berkata, Pengerusi Mara, Datuk Dr Awang Adek Hussin juga diminta menyemak semula semua urus niaga jual beli hartanah melibatkan Mara Inc dalam kerangka memperbaiki kerosakan yang berlaku dan menyelamatkan wang rakyat.

Laporan akhbar Australia, Sydney Morning Herald pada 27 Januari lalu mendedahkan, urus niaga hartanah membabitkan Mara didakwa menanggung kerugian RM60 juta akibat penyelewengan di dalam urus tadbir niaga hartanah pangsapuri UniLodge di Melbourne, Australia.

Dalam pendedahan itu juga, akhbar tersebut mendakwa hartanah itu sengaja dinilai lebih tinggi dengan menggunakan ejen penilaian hartanah tempatan.

The Sydney Morning Herald juga mendakwa bangunan di 746 Swanston Street yang dibeli Mara itu terlebih nilai oleh sebuah syarikat menggunakan nama firma hartanah terbesar Australia, Raine and Horne.

Menurut akhbar tersebut, bangunan yang juga dikenali Unilodge itu pada asalnya dinilai pada harga AS$23.5 juta (RM74 juta) oleh seorang penjual bangunan dan usahawan Australia, Lionel Farber.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");