Perak Hari Ini

Pemuda Pakatan Harapan Perak Usul Bertanding Guna Logo Salah Satu Daripada Mereka

IPOH: Bagi menghadapi Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan datang, Ketua Pemuda Harapan Perak mengusulkan agar Pakatan Harapan menggunakan salah satu logo daripada parti-parti pembangkang tersebut.

Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata cadangan itu merupkan jalan alternatif sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) masih tidak memberi jawapan terhadap permohonan mereka bagi bertanding di bawah satu logo.

“Mungkin idea yang saya lontarkan ini memberi sedikit tidak senang kepada segelintir kita malah idea ini juga bukanlah populis.

“Namun, kita masih kekurangan suatu perkara, iaitu sebagaimana dengan hasrat Tun (Tun Dr Mahathir Mohamad), iaitu bertanding menggunakan logo yang sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pemuda Pakatan Harapan Perak, di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak, Bandar Meru Raya, dekat sini, pada Khamis.

Yang turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Ahmad Faizal Azumu; Ketua Pemuda Harapan Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Ketua Pemuda Harapan Pusat, Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan Pusat, Howard Lee Chuan How serta Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada masa sama, ketika sidang media, Nik Nazmi berkata cadangan tersebut akan dibawa ke peringkat tertinggi untuk dibincangkan dengan lebih lanjut.

“Memang ianya ada ditimbulkan namun masih belum lagi diumumkan,” jelasnya.

Ujarnya lagi, perkara tersebut akan diselesaikan secepat mungkin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");