Isu Panas

Perbicaraan Rasuah Mungkin Jejaskan Pencalonan

GEORGETOWN: “Mungkin.” Demikian kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika didesak pemberita untuk memberikan jawapan sama ada perbicaraan kes rasuahnya akan menjejaskan pencalonannya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, beliau perlu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang beberapa kali dengan setiap kali untuk tempoh empat hingga lima hari sepanjang Mac dan Mei lapor Bernama.

Mahkamah Tinggi menetapkan 23 hari bagi perbicaraan antara 26 Mac dan 25 Mei.

Pada 30 Jun 2016, Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyalahgunakan kuasa sebagai ketua menteri untuk manfaat diri dan isterinya Betty Chew, dengan meluluskan permohonan Emblem Sdn Bhd bagi menukar status tanah pertanian kepada status perumahan dengan menggunakan kedudukannya dalam mesyuarat jawatankuasa perancang negeri dipengerusikannya pada 18 Julai 2014.

Lim juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan manfaat menerusi pembelian sebuah rumah daripada Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta iaitu lebih rendah daripada harga pasaran RM4.27 juta pada 28 Julai 2015.

Phang yang juga presiden Magnificent Emblem turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Lim dalam pembelian rumah di Jalan Pinhorn itu daripadanya pada harga RM2.8 juta iaitu di bawah harga pasaran atau RM4.27 juta.

Dalam perkembangan lain, Lim, yang bercakap kepada pemberita di sini, berkata kerajaan negeri sudah menjelaskan bayaran bagi kajian kebolehlaksanaan untuk tiga lebuh raya menerusi kaedah tukar tanah bernilai RM208 juta.

Beliau berkata kerajaan tidak membuat sebarang bayaran bagi kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut seperti didakwa GERAKAN.

Keutamaan kerajaan negeri adalah tiga lebuh raya itu dan bukannya terowong dasar laut yang dijangka siap hanya pada 2027, katanya.

Selasa lalu, GERAKAN Pulau Pinang mendakwa kerajaan negeri telah membayar RM208 juta bagi kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut menerusi kaedah tukar tanah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");