Berita Hari Ini

PERKESO Lulus 110 Permohonan SIP

KUALA TERENGGANU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah meluluskan 110 daripada 680 permohonan bantuan interim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) setakat semalam daripada individu yang hilang pekerjaan sejak pelaksanaan sistem itu berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Pengerusinya, Tan Sri Aseh Che Mat berkata pemohon diberi bantuan kewangan sementara selama enam bulan bagi membolehkan mereka mendapatkan semula pekerjaan.

Katanya, skim tersebut merupakan sumbangan besar kepada 6.6 juta pekerja swasta yang membuat kadar caruman 0.2 peratus bagi pekerja dan majikan bermula potongan gaji Januari 2018 lapor Bernama.

Menurutnya, sementara menunggu dana SIP matang pada Januari 2019, kerajaan memperuntukkan RM122 juta bagi bantuan interim tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media menyampaikan cek faedah Perkeso kepada 10 penerima yang melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM40,000 di Wisma Perkeso di sini, pada Selasa.

Di bawah skim SIP, bantuan kewangan enam bulan itu diberikan antara 30 hingga 80 peratus dari gaji terakhir diterima sebelum diberhentikan, bermula daripada bulan pertamanya kehilangan pekerjaan.

Menerusi manfaat SIP itu, bantuan kewangan diberikan sebanyak 80 peratus selepas bulan pertama diberhentikan, 50 peratus pada bulan kedua, 40 peratus (bulan ketiga dan keempat) dan 30 peratus lagi untuk bulan kelima dan keenam.

Bagaimanapun, bantuan kewangan ini hanya layak kepada mereka yang diberhentikan secara biasa, skim pemberhentian sukarela (VSS) atau skim pelepasan sepakat (MSS) dan bukan yang dibuang kerja kerana masalah disiplin.

Sementara itu, pada majlis itu, seorang penerima, Nurul Safiyah Yong, 26, berkata beliau menerima RM3,000 setelah membuat permohonan ekoran mengalami kecederaan setelah terlibat dalam kejadian langgar lari pada Ogos lalu, hingga mengalami kecederaan teruk di bahagian peha.

“Saya terpaksa mengambil cuti selama tiga minggu. Perkeso sebelum ini telah biayai kos memasukkan besi pada bahagian kecederaan sebanyak RM12,000. Ia benar-benar telah meringankan beban saya,”katanya yang merupakan pembantu jururawat di sebuah klinik swasta di Damansara, Kuala Lumpur dan telah mencarum sejak 2014.

Seorang lagi penerima, Mohd Ghani Hassan, 50, anggota polis bantuan Bank Simpanan Nasional (BSN), mengucapkan terima kasih kerana telah mendapat bantuan kerusi roda dan alat bantuan berjalan selepas mengalami serangan penyakit buah pinggang sejak November tahun lepas.

“Saya sangat berterima kasih kepada Perkeso kerana telah memberi bantuan peralatan bagi memudahkan pergerakan saya. Perkeso telah menunaikan apa yang pernah dijanjikan,” katanya.

Tahun lepas, Perkeso telah membayar tuntutan sebanyak RM3.2 bilion dalam bentuk pelbagai faedah kepada hampir 560,000 pencarum.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");