shadow

Cheras: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan kepimpinan pembangkang hanya mempergunakan Tun Mahathir untuk mendapat sokongan dari pengundi melayu menjelang Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

Terdesak untuk memperoleh kemenangan lantas, Tun Mahathir dijadikan sebagai ‘Kuda Tunggangan’ dengan memilih beliau sebagai calon Perdana Menteri sekiranya mereka menang Pilihan Raya Ke-14 (PRU14).

“Pembangkang memerlukan Tun M untuk mendapat sokongan dari orang melayu dan mereka tidak boleh menang jika mereka tidak mendapat sokongan itu.

“Mereka terpaksa terima Tun Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri sebab mahukan sokongan daripada orang melayu.

“Kita kena berhati-hati kerana ini hanya satu strategi politik yang bahaya dan bersifat sementara semata-mata untuk mendapat kemenangan,” katanya pada sidang akhbar di Program MyCorps, hari ini.

Khairy menjelaskan, sekiranya pihak pembangkang memenangi PRU14 maka kepimpinan parti akan menghadapi krisis dimana parti-parti pembangkang tiada persefahaman.

Malah jelas beliau, keputusan untuk menjadikan Mahathir sebagai Perdana Menteri juga dilihat tidak ada persutujuan sebulat suara dari kepimpinan pembangkang.

“Saya lihat dari segi penolakan keputusan itu daripada sebahagian pemimpin veteran PKR sangat-sangat nyata bahawa mereka tidak boleh terima untuk menjadikan Mahathir sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Tambah beliau, pembangkang telah merangka agenda untuk menjadikan Mahathir sebagai Perdana Menteri buat sementara.

Dengan rekod kepimpinan yang ada pada Bekas Perdana Menteri Malaysia itu katanya, tidak mungkin beliau akan hanya menjadi Perdana Menteri buat sementara.

Justeru jelas beliau, perkara berkenaan sudah tentu akan mencetuskan konflik antara Mahathir dan pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain.

“Risiko besar jika pengundi memilih pembangkang kerana ia akan mencetuskan perebutan kuasa yang paling besar di antara parti-parti pembangkang dan ia akan membawa ketidakstabilan di dalam politik Malaysia,” katanya lagi.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan Malaysia turut menyatakan bahawa sikap kepimpinan pembangkang yang tiada pendirian serta tidak konsisten.

“Mereka sanggup memberi harapan palsu seperti jika mereka menang, mereka akan hapuskan semua tol, sedangkan negeri yang mereka pimpin seperti Selangor sebagai contoh, mereka bukan hanya memegang saham dalam konsesi tol tetapi juga telah meluluskan pembinaan beberapa tol baru.

“Macam mana boleh pembangkang hapuskan tol sedangkan mereka yang memerintah di Selangor telah meluluskan untuk pembinaan beberapa tol baru,” kata Khairy.

Beliau berkata pembangkang sanggup mengenepikan segala prinsip semata-mata untuk mencapai kemenangan pada PRU14.

Justeru, pengundi muda terutamanya perlu berhati-hati agar tidak terbawa-bawa dengan sentiment politik selain mengkaji sebarang fakta dengan betul.

Komen & Pendapat