Jenayah

Polis Pakistan Tangkap Suspek Utama Kes Bunuh Kanak-Kanak

ISLAMABAD: Polis Pakistan, semalam menangkap suspek utama yang dituduh merogol dan membunuh budak perempuan dalam kes yang menimbulkan kemarahan dan mencetuskan kebimbangan pembunuh bersiri yang menyasarkan kanak-kanak di bandar Kasur.

Pembunuhan Zainab Fatima Ameen, enam tahun, kanak-kanak ke-12 ditemui dirogol dan dibunuh di Kasur pada jarak dua kilometer dalam masa dua tahun, mencetuskan rusuhan dengan ribuan penduduk menyerbu balai polis dan membakar rumah ahli politik, menuduh pihak berkuasa tidak bertindak.

Ketua Menteri Punjab, Shahbaz Sharif, mengumumkan penangkapan Imran Ali pada sidang akhbar lewat semalam, sebagaimana dilaporkan BH Online.

“Pembunuh Zainab ditangkap, namanya Imran, berusia 24 tahun dan penduduk Kasur, dia adalah pembunuh bersiri,” kata Sharif.

Sharif berkata, pihak berkuasa mengadakan ujian DNA ke atas 1,150 orang dan DNA Ali adalah 100 peratus padan dengan bukti yang dikutip di lokasi jenayah.

“Kemudian dalam ujian poligraf, dia mengaku semua kesalahannya, kami mempunyai rakaman video,” kata Sharif.

Polis berkata, penemuan awal DNA mengaitkan Ali dengan pembunuhan Zainab.

Pegawai perubatan berkata, penyiasat juga menemui DNA sama pada enam daripada 12 mangsa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");