MANJUNG:Pelbagai khabar angin mengenai status projek pembinaan beberapa hospital di negeri ini tidak sepatutnya dijadikan isu bagi meraihkan sokongan politik oleh pihak tertentu kerana tindakan sedemikan tidak akan memberikan keuntungan kepada mana-mana pihak.
Menteri Besar,Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sekiranya kerajaan telah mengumumkan sesuatu ia pastinya akan ditunaikan sama ada cepat ataupun lambat.
“Ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan meraih sokongan politik berkaitannya,projek tersebut memerlukan satu plan perancangan yang memakan masa jadi jangan percaya cakap diluar sana kononnya mereka lebih mengetahui apa yang sedang kerajaan sedang rancangkan.
“Sebagai contoh ada kalangan mereka, mendakwa Hospital Daerah Perak Tengah tidak dapat dilaksanakan kerana wang pembinaan telah dibawa ke Hospital Parit Buntar kemudian, lawatan saya di Kerian baru-baru ini mereka menyatakan ada khabar angin mendakwa bahawa wang diperuntukkan bagi Hospital Parit Buntar dibawa ke Perak Tengah,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Katanya lagi, tindakan tersebut tidak akan menguntungkan sesiapa kerana apa yang dilakukan pihak Kerajaan kini adalah untuk rakyat serta memberikan perkhidmatan terbaik untuk mereka.
Terdahulu yang hadir merasmikan sesi Taklimat bengkel Jururawat Idamanku sesi 1/2018 peringkat Hospital Seri Manjung hari ini turut meninjau projek pembinaan blok tambahan di Hospital Seri Manjung yang menerima peruntukan daripada Kerajaan sebanyak RM60 juta.
Katanya, menerusi maklumat daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) proses melibatkan pembukaan tender dilaksanakan pada Mac ini.
“Pembinaan melibatkan beberapa hospital di negeri Perak iaitu Hospital Manjung, Perak Tengah dan Parit Buntar bagi Hospital Parit Buntar tapak pembinaan diatas tanah sawah jadi pastinya ia mengambil masa untuk proses pemampatan tanah untuk dilaksanakan pembinaan.
“Begitu juga masalah di Hospital Bainun yang turut mengalami kelewatan setelah pihak pemaju mendapati tanah tersebut merupakan tanah jenis batu kapur yang begitu rapuh serta mengambil masa untuk satu-satu bangunan didirikan supaya tidak berlaku pemendapan, jadi tiada istilah kerajan tiada duit dan kehabisan duit,” katanya.
Jelasnya bagi kesemua projek terbabit berjalan seperti biasa.