Isu Panas

‘Pulang Paku Buah Keras Kepada Tun M’

KANGAR: PAS menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyifatkan ‘angan-angan Mat Jenin’ yang dilabel bekas Perdana Menteri itu, sebagai faktor PAS menjadi kuat dan berjaya menawan Kelantan pada zaman pemerintahannya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Abduh Nik Aziz, berkata Mahathir seharusnya mengingat kembali kerana ‘angan-angan Mat Jenin’ sehingga kini Mahathir mahupun penggantinya, gagal merampas kembali Kelantan daripada PAS.

“Mahathir mengulangi benda yang sama. PAS ini ‘angan-angan Mat Jenin’ tetapi kerana ‘angan-angan Mat Jenin’ pada zaman dialah kita menang di Kelantan.

“Daripada PAS kosong, tidak mempunyai apa-apa, kerana dia gemar memperlekeh PAS, akhirnya kita memperolehnya. Kita bukan ‘angan-angan Mat Jenin’. Apa yang kita buat demi Islam dan akhirnya kita akan mencapai kemenangan,” katanya menerusi laporan BH Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ulang Tahun Ke-9 Ma’had Tahfiz Al Quran Al Imam Al Nawawi (MATIN), di sini.

BH Online sebelum ini melaporkan Dr Mahathir menyifatkan hasrat PAS untuk bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen pada PRU-14 sebagai ‘angan-angan Mat Jenin’.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, PAS kadang kala hanya memenangi satu kerusi Parlimen, namun parti itu masih mempunyai cita-cita tinggi.

Mengulas lanjut, Nik Abduh, berkata kerana ‘angan-angan Mat Jenin’ PAS semakin kuat dan semakin dihormati oleh rakyat Malaysia.

“Suara PAS hari ini lebih gagah berbanding dulu. Tiada satu tanda pun sebagai penyebab PAS semakin hari semakin lemah, kecuali suara Mahathir.

“Mahathir mengulangi apa yang UMNO tidak ulangi hari ini. Hujah Mahathir hari ini hujah 80-an dulu. UMNO sudah malu nak sebut hujah Mahathir ini.

“Malanglah bagi PH kerana mengambil Mahathir balik. Seolah-olah membina Malaysia kembali ke belakang, bukannya ke hadapan. Tidak kena dengan politik PH yang mahu membina Malaysia baharu akhirnya jadi Malaysia lama,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");