Berita Hari Ini

Rakyat Hendaklah Cerdik Politik

SEWAKTU kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menjadikan infrastruktur sebagai modal kempen. Dalam State of the Union Address baru-baru ini pula, Presiden Amerika Syarikat itu menjangkakan kos pembangunan semula infrastruktur yang diumum memerlukan bajet AS$1.7 trilion (RM6.8 trilion).

Kos ini dijangka datang dari peruntukan kerajaan pusat, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pelaburan sektor swasta. Walaupun ada pihak tertentu yang mempertikaikan kemampuan kewangan kerajaan, Presiden Trump bersungguh-sungguh mahu melaksanakannya. Katanya ini bakal ‘Make America Great Again’.

Di New Jersey, Gabenor Phil Murphy juga menjadikan pengangkutan awam sebagai agenda penting pentadbirannya. Beliau mahu memastikan NJ Transit yang menguruskan perkhidmatan keretapi dan bas kembali bertaraf dunia.

Sebagai permulaan, beliau mengarahkan audit dilakukan. Gabenor Murphy telah mengumumkan pelantikan beberapa profesional berpengalaman bagi menerajui inisiatif ini.

Di Malaysia, perkhidmatan MRT sejauh 51km dari Kajang ke Sungai Buloh sudah mula beroperasi. Proses membangunkan MRT2 dari Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya sejauh 52.2km juga sedang dalam pembinaan. Manakala fasa terakhir MRT3 kini dalam perancangan.

MRT ialah perkhidmatan sistem pengangkutan termoden dan melengkapkan jaringan pengangkutan lain di Lembah Kelang.

Selain itu, pengangkutan antara Kuala Lumpur dan Singapura akan bertambah baik apabila projek laluan keretapi berkelajuan tinggi sejauh 320km siap dibina. Projek Landasan Keretapi Pantai Timur juga bakal melengkapkan lagi jaringan sistem pengangkutan yang disediakan oleh KTM pada masa ini.

Saya sebutkan kedua-dua usaha meningkatkan mutu perkhidmatan sistem pengangkutan di Amerika Syarikat dan Malaysia ini bagi menunjukkan bahawa infrastruktur kita setaraf dengan negara maju. Malah, dalam soal penyediaan kemudahan untuk rakyat, Malaysia tidak ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara lain, sama ada di Amerika Utara atau di Eropah.

Apa yang membezakan kita dengan negara maju bukanlah infrastruktur, tetapi partisipasi politik. Partisipasi politik bukanlah sekadar mengundi atau mengambil bahagian dalam polemik politik kepartian, atau berkempen sewaktu musim pilihan raya.

Partisipasi politik lebih luas dari itu. Partisipasi politik bermaksud rakyat dilibatkan dalam proses membuat keputusan pada peringkat paling bawah. Penglibatan ini penting dalam membangunkan cerdik politik. Apabila rakyat cerdik politik, mereka dapat mengambil bahagian secara lebih bermakna.

Dalam konteks Malaysia, partisipasi rakyat harus bermula daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). Daripada 154  kerajaan tempatan di negara kita, berapa banyakkah yang benar-benar melibatkan penduduk setempat dalam proses membuat keputusan?

Adakah rakyat tahu bagaimanakah wang cukai dan pelbagai pendapatan dibelanjakan oleh kerajaan tempatan? Bagaimanakah PBT mendapatkan pandangan rakyat dalam merancang pembangunan setempat? PBT manakah yang membuat townhall meeting dengan penduduk?

Apabila rakyat tidak didedahkan dengan proses membuat keputusan pada peringkat paling bawah, mereka tidak cerdik politik. Kalau isu longkang dan jalan raya pun mereka tak pernah bahas, adalah tidak adil untuk kita mengharapkan mereka berbahas isu-isu nasional yang lebih kompleks dengan waras.

Ada yang merasakan dengan tukar kerajaan semua isu boleh selesai. Dalam proses demokrasi, rakyat berhak meletakkan sesiapa saja di tampuk kepimpinan. Namun, usah anggap dengan berbuat begitu, semua masalah boleh selesai. Itu terlalu simplistik.

Isu-isu seperti perumahan, pekerjaan, pendapatan dan pengangkutan adalah penting kepada rakyat. Kerajaan pusat, negeri atau PBT harus lebih terbuka membahaskan isu-isu ini. Wacana ini harus melibatkan rakyat. Ia bukan milik pemimpin politik semata-mata.

Kepimpinan ketiga-tiga peringkat kerajaan mesti lebih terbuka dalam engagement dengan rakyat. Dan, rakyat pula hendaklah cerdik politik. Inilah yang gersang dalam politik Malaysia.

*Norizan Sharif ialah penganalisis sosiopolitik, kini berada di New Jersey, Amerika Syarikat

-Sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");