Berita Hari Ini

Ramli Ibrahim Terima Anugerah Berprestij India

KUALA LUMPUR: Ikon popular tarian klasik Malaysia, Datuk Ramli Ibrahim menerima anugerah tertinggi India yang membawa gelaran Padma Shri hari ini.

Menurut laporan MalaysiaGazette, ia berikutan jasa beliau dalam memartabatkan seni tarian klasik India selama hampir tiga dekad.

Anugerah Padma Shri yang dianggap paling berprestij di India akan diberikan kepada 84 penerima dalam dan luar negara pada Hari Republik India di atas jasa serta sumbangan mereka dalam pelbagai bidang dan memberi impak besar kepada masyarakat seluruh dunia.

Ramli bukan nama asing bukan sahaja kepada rakyat Malaysia malah hampir dunia kerana persembahan popular beliau Odissi yang sentiasa menerima sambutan hangat termasuk di New York, Paris, India dan banyak lagi.

Ramli melalui tariannya mampu mempersonakan audie dengan kerlingan dan pergerakan mata yang menggamit perhatian, gerak-geri tangkas badan dan kaki semasa mempersembahkan tarian paling silam India walaupun usianya kini sudah menjangkau 64 tahun.

Beliau pernah menerima penghormatan tertinggi daripada beberapa negara kerana peranan memupuk muhibah dan persefahaman dalam kalangan pelbagai budaya melalui tarian.

Penari, koreografer dan guru tarian itu juga menerima anugerah kebangsaan India daripada Presiden India Pranab Mukherjee pada  tahun 2011.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal  University of Western Australia di Perth itu dalam satu temubual berkata, minat bidang tarian menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk tidak menceburi kerjaya dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

“Saya bermula dengan Bharatnatyam dan selepas itu menjumpai Odissi, yang rasa saya lebih serasi dengan perwatakan saya,” kata Ramli yang telah mengadakan persembahan di banyak negara dan lebih 100 bandar raya dunia.

“Saya pertama kali mengadakan persembahan di New York pada tahun 1981 bersama Sydney Dance Company dan pada persembahan itulah saya mendapat perhatian penari terkenal, Indrani Rehman. Beliau menganjurkan banyak persembahan untuk saya di New York pada 1990-an,” katanya.’

Anugerah Padma Shri juga pernah diberikan kepada mendiang Puan Sri Datin Janaki Athi Nahappan pada tahun 2000 atas pengorbanan Janaki menentang pendudukan British di India sepanjang tempoh Perang Dunia Kedua.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");