Jenayah

RCI Memali: Kedah Sedia Beri Kerjasama

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri bersedia memberikan kerjasama diperlukan sekiranya kerajaan Pusat menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat peristiwa Memali.

Menerusi laporan Sinar Online, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya menghormati desakan sesetengah pihak supaya RCI Memali segera ditubuhkan untuk menegakkan keadilan kalangan keluarga mangsa tragedi itu.

“Terpulang kepada kerajaan Pusat, sama ada perlu atau tidak. Jika ditubuhkan, kita bersedia bantu dan bagi kerjasama diperlukan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya keluarga mangsa Memali mahukan penjelasan insiden berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan kertas putih Memali sebelum ini, ia mungkin perlu diberikan perhatian.

“Kalau mereka tidak berpuas hati, dan itu yang dilihat perlu dilakukan, rasanya tiada masalah untuk tubuhkan RCI,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, fungsi RCI Memali adalah sama seperti RCI lain yang ditubuhkan bagi menyiasat semula perkara yang berlaku.

“Jika ada keperluan apa salahnya, jika rakyat mahu RCI diwujudkan dan ia keperluan, kita serahkan kepada kerajaan Pusat untuk pertimbangkan,” katanya.

Tambahnya, sokongan menubuhkan RCI itu juga susulan peristiwa Memali berlaku di Baling, Kedah.

Tragedi Memali berlaku pada 19 November 1985 di Baling yang mengorbankan 18 orang termasuk empat anggota polis dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menahan guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali Ibrahim Libya.

Kebelakangan ini, isu itu kembali diperkatakan termasuk keluarga mangsa yang mendesak RCI ditubuhkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");