Jenayah

Salah Guna Wang Zakat Murid, Guru Besar Didakwa

KUALA TERENGGANU: Seorang guru besar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan wang zakat murid sekolahnya, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Zabidah Sulaiman, 58, yang ketika itu bertugas sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Cheneh Baru 2 di Kemaman, didakwa menyalahgunakan harta, iaitu wang zakat berjumlah RM5,000 daripada Syarikat Ladang Rakyat Terengganu.

Mengikut kertas pertuduhan, wang berkenaan yang diterima tertuduh sepatutnya diberikan sebagai sumbangan kepada 100 murid sekolah berkenaan.

Menurut laporan BH Online, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) pada 13 Julai 2015 di Bilik Mesyuarat Syarikat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, di Kemaman.

Bagaimanapun, tertuduh yang ketika ini bertugas sebagai Guru Besar SK Pasir Gajah, Kemaman, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz kemudian menetapkan 11 Februari depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan tertuduh diwakili peguam Che Amir Che Musa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");