Jenayah

Saya Tidak Buat Komen Dalam Laporan Berita: Wartawan TV3

KUALA LUMPUR: Seorang wartawan penyiaran Sistem Televisyen Malaysia (TV3) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak membuat sebarang komen berhubung “6,000 Surat”, di dalam laporan berita yang disiarkan oleh Buletin Utama pada 2 Ogos 2013.

A.Selwam, 35, yang bertugas sebagai Koresponden TV3 Bahagian Utara berkata laporan berita yang ditulisnya itu hanya berdasarkan sidang media oleh Datuk Dr Mazlan Ismail berhubung 6,000 surat bertajuk “Bank Leak Anwar Karpal” yang didakwa diterima bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh (Mazlan).

“Saya tidak membuat sebarang komen membabitkan surat itu kerana keseluruhan berita yang dilaporkan hanya mengandungi komen oleh Mazlan,” katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman difailkan Anwar terhadap Mazlan, TV3 dan Utusan Melayu (M) Bhd atas dakwaan mengaitkan bekas ketua pembangkang itu terlibat dengan rasuah membabitkan badan kehakiman dan Pejabat Peguam Negara.

Saksi pertama TV3 itu berkata beliau menerima panggilan daripada Mazlan pada 1 Ogos 2013, sehari sebelum laporan berita itu disiarkan dan Mazlan memaklumkan kepadanya bahawa beliau ingin membuat sidang media berhubung 6,000 surat yang didakwa telah dihantar ke rumahnya melalui pos dan sebahagian daripada surat diletakkan di hadapan rumahnya.

“Dalam sidang media itu, Mazlan menjelaskan bahawa beliau tidak mahu terlibat dengan perkara itu dan ingin mengembalikan semula surat berkenaan dan tidak tahu mengapa surat tersebut dihantar kepadanya,” katanya, menerusi laporan Sinar Online, hari ini.

Menjawab soalan peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Anwar, Selwam mengaku bahawa beliau tidak membuat sebarang pengesahan daripada Anwar atau peguam Karpal Singh sama ada maklumat yang diterima daripada Mazlan betul ataupun tidak.

Disoal peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mazlan sama ada beliau mempunyai niat untuk menyiarkan kandungan surat itu, saksi itu berkata beliau sama sekali tidak mempunyai niat untuk berbuat demikian.

“Dalam sidang media itu, Mazlan tidak mengedarkan salinan surat dan tidak membaca keseluruhan kandungan surat berkenaan kepada pihak media,” kata Selwam yang turut memaklumkan Mazlan hanya menyebut mengenai “Bank Leak Anwar Karpal”.

Pada 15 Oktober 2015, Anwar, selaku plaintif memfailkan saman selepas mendakwa Mazlan telah menyebabkan TV3 menyiarkan perkataan fitnah yang disiarkan menerusi Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos 2013 dan mendakwa Mazlan juga menyebabkan perkataan fitnah itu diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.

Beliau mendakwa Mazlan mengadakan persidangan media yang mengandungi perkataan fitnah yang serius dan berniat jahat membawa maksud beliau seorang yang tidak beretika, terlibat dalam rasuah, melakukan aktiviti berunsur jenayah, tidak jujur dan tidak bermoral.

Anwar menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi yang menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin bersambung 2 Mei.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");