MUAR – Polis Muar berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah yang didalangi oleh sekumpulan warga asing dipercayai telah aktif di daerah ini sejak Disember lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, enam daripada tujuh suspek itu berjaya ditahan dalam dua tangkapan berbeza selepas aktif menyamun sembilan buah rumah di kawasan Pagoh, Panchor dan Bakri.
Menurutnya, laporan pertama diterima pada 2 Disember lalu dan yang terakhir pada 15 Januari di mana kesemua laporan ini membabitkan sembilan buah kes.
“Lima daripada kes samun ini disasarkan di rumah-rumah kongsi warga asing manakala selebihnya merupakan rumah penduduk tempatan termasuk kedai runcit.
“Bagaimanapun, tiga suspek pertama berjaya ditahan pada 17 Januari di kediaman mereka manakala empat lagi ditahan semalam di rumah kongsi yang lain di Bukit Pasir. Berdasarkan siasatan, seorang wanita daripada tujuh suspek yang tertangkap didapati tidak terlibat dan dia hanya ditahan di bawah akta imigresen,” katanya.
Beliau berkata, dengan tertangkapnya enam suspek itu, kes samun yang aktif sejak lebih sebulan lalu telah dianggap selesai.
Katanya, kesemua yang ditahan kini direman selama 14 hari mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini secara haram.
“Pada masa sama, kita turut membuka siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.
“Pada masa sama, usaha mencari seorang lagi suspek juga giat dijalankan. Justeru, kami memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai seorang warga Indonesia bernama Rizki@Maskom berusia 20-an untuk segera melaporkan kepada polis,” katanya.