Jenayah

Sistem Pancur Tidak Berfungsi, Sukarkan Operasi Pemadaman

PUTRAJAYA – Kesan kebakaran di kuarters penjawat awam di Presint 16, di sini boleh menjadi lebih buruk sekiranya kejadian berlaku di tingkat 10 dan ke atas.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Wan Mohd Nor Wan Ibrahim berkata, sistem pancur air (water hydrant) tidak berfungsi dengan baik menyebabkan pasukan bomba menggunakan air yang dipam dari pili bomba.

Menurutnya, unit bertingkat mempunyai sistem kecemasan sendiri dan seharusnya berfungsi dengan baik.

“Penduduk bernasib baik kebakaran berlaku di tingkat empat dan bomba masih boleh menggunakan pili bomba untuk pemadaman, namun jika di tingkat lebih tinggi operasi menyelamat bakal berdepan kesukaran.

“Isu penyelenggaraan sistem keselamatan dan kecemasan ini diberikan perhatian dan tindakan bagi mengelak insiden berulang,” katanya memetik sumber laporan Sinar Harian.

Beliau meninjau lokasi semalam bagi melihat sendiri unit diduduki keluarga pembantu akauntan, Saufi Mat Hassan, 37, yang terbakar dalam kejadian jam 9.15 malam, kelmarin.

Seorang warga emas berusia 58 tahun merupakan ibu saudara kepada Saufi tinggal bersendirian di rumah, sementara Saufi, isteri dan dua anaknya berada di pusat beli-belah Alamanda ketika kejadian.

Wan Mohd Nor berkata, punca kejadian masih dalam siasatan, namun tidak menolak penggunaan elektrik berlebihan melalui sistem sambungan menyumbang kepada insiden tersebut.

Sementara itu, Saufi berkata, dokumen penting termasuk sijil kelahiran anak dan sebuah komputer antara yang terbakar dalam bilik utama unit diduduki sejak empat tahun itu.

“Saya dapat maklumat kejadian jam 9.30 malam dan tiba di rumah 10 minit kemudian. Saya tak pasti punca kejadian tapi bukan disebabkan ‘powerbank’ (pengecas mudah alih) kerana saya tak gunakannya dan diletakkan di ruang tamu.

“Alhamdulillah tiada yang cedera dan saya tinggal di unit sementara sehingga unit dibaiki atau ke penempatan baru,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");