Jenayah

Sivarasa Gagal Rujuk Isu Perlembagaan Ke Mahkamah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan Anggota Parlimen Subang R.Sivarasa bagi merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan, berkaitan pertuduhan memuat naik muka hadapan palsu majalah Time membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di laman Facebooknya, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas mendapati Seksyen 233(1)(a) dan 233(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah sah dan tidak bercanggah dengan Perkara 8 dan 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Sofian berkata seksyen itu merupakan satu undang-undang yang sah dan mengikut perlembagaan, justeru kes itu tidak perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Sehubungan itu beliau memerintahkan kes tersebut diteruskan dengan perbicaraan di Mahkamah Sesyen dan menetapkan 6 Februari untuk sebutan.

Pada 10 November 2016, Sivarasa mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, untuk mencabar sama ada Seksyen 233(1)(a) dan 233(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah bercanggah dengan Perkara 8 dan 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 15 April 2016, Sivarasa, 62, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memuat naik muka hadapan palsu majalah Time membabitkan Najib di laman Facebooknya, Mac 2016.

Dia menghadapi dua pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman akaun Facebook ‘Sivarasa Rasiah’ dalam dua pautan iaitu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Sivarasa yang juga seorang peguam itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan pada 7.41 malam, 22 Mac 2016 dan 4.59 pagi, 23 Mac 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pautan itu dibaca di No A-1110, Tingkat 11, Menara A Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah di sini pada 9.20 pagi hingga 9.30 pagi, 23 Mac 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria manakala Sivarasa diwakili peguam Prof. Dr. Gurdial Singh Nijar. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");