DEK kerana sifatnya yang begitu manja dan mudah didekati, tidak hairanlah mengapa kucing menjadi haiwan perliharaan kegemaran ramai.
Malah ada yang menjadikan kucing sebagai terapi bagi merawat kesihatan dalaman antaranya kemurungan, tekanan perasaan dan sebagainya.
Tidak kurang juga ada yang meminati haiwan comel ini dengan sangat mendalam.
Dibuka setiap hari dari jam 12.00 tengah hari sehingga 12.00 tengah malam, ‘Studio Kucen’ yang terletak di Meru, Ipoh ini boleh diibaratkan sebagai ‘syurga’ buat penggemar kucing.
Hanya perlu membayar serendah RM5.00, pengunjung boleh bermanja dengan 55 ekor kucing di sini selama 30 minit.
Melangkah masuk ke Studio Kucen, pengunjung akan terpegun dengan istana mini dan rumah-rumah kucing yang tersergam indah di sini, selain akan disambut dengan ngiauan kucing yang sentiasa menantikan kehadiran pengunjung.
Antara spesis kucing yang terdapat di sini ialah Rex Cornwall (Cornish rex), Kucing Sphinx, Kucing Telinga Gulung Amerika (American curl), Kucing Bulu Pendek Amerika (American Shorthair), High Nose, Maine Coon, Munchkin, dan banyak lagi.
Selain dapat bermanja dengan kucing-kucing di sini, pada masa sama, para pengunjung akan dapat menimba ilmu tentang latar belakang spesis kucing, cara penjagaan, dan sebagainya.
Ianya akan diterangkan sendiri oleh pengusahanya, Ameri Mohd Sarip@Shariff, 44.
Beliau yang juga merupakan pensyarah Bahasa Inggeris di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak, Kampus Seri Iskandar berkata, kewujudan Studio Kucen ini antara lain mahu mendidik dan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kucing.
“Mungkin orang akan melihat kucing ini sama, cara penjagaannya pun sama, tetapi, sebenarnya tidak.
“Sebagai contoh, kucing Sphinx, kita tidak boleh belai atau lurut seperti kucing lain, kerana ia tidak mempunyai bulu. Sebaliknya kita hanya perlu ‘mengurut’ sahaja badannya,” jelasnya.
Cetusan Idea
Ameri berkata idea bagi membuka sebuah ruang kucing untuk umum ini telah lama diidamkanya semenjak melanjutkan pelajaran ke Eropah pada sekitar awal tahun 2000.
Katanya, pada Jun tahun lalu, beliau sudah mula serius terhadap perniagaan ini.
“Saya buat beberapa kajian tentang perniagaan ini, dan juga mula mencari tukang kayu untuk membina rumah-rumah kucing di sini.
“Sekarang ini Studio Kucen berada pada fasa pertama dan saya sedang menunggu seorang pelukis untuk melukis mural bagi mencantikkan lagi keadaan studio ini.
“Saya juga sedang merancang untuk membuat jejantas bagi menghubungkan kesemua rumah-rumah kucing di sini,” katanya.
Tambahnya lagi, koleksi kucing-kucing di sini ada yang memang dimilikinya dan ada juga yang diberi oleh orang lain kepadanya atas alasan terpaksa berpindah ke kediaman baharu.
Pensyarah Yang Mementingkan Ilmu Praktikal
Selain sebagai menenuhi kepuasan dan minat sendiri, Ameri berkata kewujudan Studio Kucen ini juga sebagai tempat para pelajarnya untuk mempelajari ilmu keushawanan.
Dinobatkan sebagai Mentor Keushawanan UiTM Perak 2017, jelasnya sesuatu ilmu itu boleh dipelajari dengan lebih mudah jika ianya dipraktikkan.
“Saya terapkan kepada pelajar saya di sini walaupun kita dari bidang yang lain namun, mana-mana ilum itu boleh ditimba,” katanya yang juga merupakan Ketua Mentor Pensyarah Perniagaan.
Perancangan
Ameri tidak menafikan untuk menjadikan Studio Kucen ini sebagai salah satu pusat tarikan pelancong.
Katanya, pada hari pertama operasi iaitu pada 13 Januari baru-baru ini, studio ini menerima kunjungan lebih daripada 100 orang.
Selain berdekatan dengan lebuh raya, jelasnya, kawasan Meru yang sedang membangun ini juga merupakan antara sebab mengapa perniagaannya mendapat sambuatan yang sangat positif.
Dalam pada itu Ameri berkata beliau terbuka untuk menerima lawatan pelajar-pelajar tadika dan sekolah rendah ke Studio Kucen di samping memberi pendedahan tentang tanggungjawab memiliki haiwan perliharaan.
Pada masa sama, beliau juga bercadang untuk menambah koleksi kucing-kucing eksotik di sini.
Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Studio Kucen ini, anda boleh lawati ke laman facebook dengan carian “Studio Kucen” ataupun ke laman Instagram dengan carian @studiokucen.
Selain itu, anda juga boleh menghubungi Ameri di talian 019-4725326.