Berita Hari Ini

Suami Isteri Tarik Balik Saman JAWI

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri yang mengemukakan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan enam lagi kerana mendakwa menahan mereka secara salah atas kesalahan berkhalwat, menarik balik permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mohd Ridhuan Giman, 35, selaku plaintif pertama dan isterinya Siti Sarah Maulad Abdullah, 27, iaitu plaintif kedua menarik balik saman itu atas alasan menghadapi masalah kewangan, selepas kes disebut semula di hadapan Hakim Datuk Nordin Hassan.

Nordin kemudian membatalkan saman itu dan memerintahkan mereka membayar kos sebanyak RM3,000 terhadap defendan. Mahkamah sebelum ini menetapkan tiga hari bermula semalam untuk perbicaraan.

Terdahulu, Mohd Ridhuan memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mahu meneruskan kes itu dan mahu menarik diri.

Mohd Ridhyan berkata, beliau berdepan dengan tiga kes di Mahkamah Syariah dan mahu menumpukan perhatian terhadap kes itu.

“Kini saya sudah dibuang kerja. Banyak kos saya kena tanggung selain daripada kes mahkamah. Saya hanya bekerja sendiri dan pendapatan tidak menentu. Lagipun saya juga sudah tidak dapat menghubungi isteri,” katanya.

Sementara itu, peguam Adam Luqman Amdan yang mewakili Mohd Ridhuan ketika ditemui, berkata pihaknya komited terhadap kes ini, bagaimanapun beberapa bulan sebelum perbicaraan terdapat masalah komunikasi dengan kedua-dua anak guamnya.

Beliau berkata, terdapat perselisihan faham antara plaintif pertama dengan plaintif kedua.

“Beberapa hari sebelum perbicaraan terdapat beberapa isu berhubung kes apabila kami gagal mendapatkan beberapa dokumen dan pengesahan daripada anak guam.

“Kami juga sukar mendapatkan pernyataan saksi daripada kedua-dua plaintif,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan anak guamnya mempunyai tiga dakwaan di Mahkamah Syariah bagaimanapun tidak pasti kes apa yang mereka hadapi.

JAWI dan enam lagi diwakili Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan Pada 18 Februari 2017, pasangan itu memfailkan saman terhadap JAWI dan enam lagi atas dakwaan menahan mereka secara salah atas kesalahan berkhalwat.

Mereka menamakan dua Pegawai Penguatkuasa JAWI, Ketua Pegawai Penguatkuasa JAWI, Ketua Pengarah, Jawi, Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketujuh.

Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan, pasangan itu mendakwa bahawa pada 8 Januari lalu, jam 1.30 pagi, mereka ditahan secara salah oleh defendan pertama dan kedua bersama enam lagi pegawai ketika menginap di sebuah hotel dekat sini.

Defendan dalam pembelaan yang difailkan pada 3 April tahun lalu, mendakwa plaintif pertama ada membuat provokasi dengan meninggikan suara dan mempertikaikan kuasa pasukan penguatkuasa JAWI yang masuk ke dalam bilik untuk pemeriksaan.

Defendan juga menafikan berlaku sebarang kekerasan atau serang sentuh terhadap kedua-dua plaintif ketika pemeriksaan dijalankan.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");