Perak Hari Ini

Sultan Perak Gesa Penambahbaikan Kaedah Agihan Zakat

IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) digesa melaksanakan modul bantuan dan kaedah agihan hasil kutipan zakat kepada golongan asnaf dengan lebih inovatif.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah MAIPk harus menjadikan ‘seorang penerima zakat dapat ditransformasikan sebagai pembayar zakat’ sebagai visi dan matlamat mereka.

Titah Baginda, golongan asnaf, fakir dan miskin merupakan penerima zakat tersebar dengan peruntukan lebih 53% daripada agihan keseluruhan.

 

Mengambil contoh kejayaan Khalifah Bani Umayyah Kelapan, Khalifah Umar bin Abdul Aziz dalam membasmi golongan miskin mutlak, Sultan Nazrin bertitah, antara rahsia kejayaan pembangunan institusi zakat ketika itu ialah dengan menyemai sifat qanaah dalam kalangan rakyat, iaitu sikap yang rela menerima dan sentiasa berasa cukup.

Pada masa sama, Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan tahap pemilikan harta umat Islam di negara ini yang berada pada tahap lebih rendah berbanding yang dimiliki orang bukan Islam.

 

“Keadaan lebih merisaukan, apabila Beta disembah maklum, dianggarkan RM 60 bilion nilai aset umat Islam bersifat tidak produktif, berada di dalam akaun bank dan insurans yang tidak dituntut, serta aset yang beku disebabkan masalah faraid, setelah berlakunya kematian pemilik aset.

“MAIPk hendaklah menggerakkan langkah aktif, membantu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh umat Islam ini, terutama membantu menghindar masalah ini daripada terus membesar,” titah Sultan Perak.

 

Titah Baginda, semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, kariah masjid dan surau mahupun agensi media digesa mempromosikan kepada umat Islam di negara ini bagi melaksanakan hibah harta.

Sultan Nazrin bertitah pada Majlis Penganugerahan Watikah dan Penyerahan Cek Zakat di Kompleks Islam Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Turut mengiringi Baginda, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta EXCO kerajaan negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");