Berita Hari Ini

Tanah Jalan Semarak: Felda Tubuh Jawatankuasa Khas

KUALA LUMPUR – Felda menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk berunding dengan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) mengenai penambahbaikan ke atas pelaksanaan perjanjian pembangunan demi kepentingan kedua-dua pihak.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut berikutan daripada perjanjian persefahaman yang ditandatangani di antara Felda dan SPSB pada 15 Januari lalu.

“Pada perjanjian tersebut, SPSB telah secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik kesemua 16 lot tanah kepada Felda tanpa kos.

“Pihak pemaju juga bersetuju menyerahkan kesemua suratan hak milik hartanah tersebut untuk didaftarkan ke atas nama Felda,” katanya dalam kenyataan media lapor Sinar Harian.

Katanya, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Ahli Lembaga Felda yang mewakili Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail.

Turut menganggotai jawatankuasa khas itu adalah, Ahli Lembaga Felda yang mewakili Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, Pengarah Besar Felda, Datuk Ab Ghani Mohd Ali dan Datuk Zainal Abidin Abu Hassan wakil daripada JPM.

“Felda juga akan memohon kepada kerajaan untuk melantik seorang wakil daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), JPM di dalam jawatankuasa tersebut.

“Keputusan ini dibuat hasil mesyuarat Lembaga Felda pada Khamis, 25 Januari lalu,” katanya.

Pada 15 Januari lalu, Felda mendapat kembali hak milik tanah di Jalan Semarak daripada SPSB, tanpa melibatkan apa-apa kos.

Pemilikan semula hak milik kesemua 16 plot tanah yang melibatkan empat transaksi jual beli dilakukan pada Disember 2015 dan November 2016 diperoleh menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara Felda dan SPSB di Ibu pejabat Felda.

Berhubung pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang sedang dilaksanakan di tanah itu, Shahrir berkata, projek tersebut akan tetap diteruskan kerana pihak pemaju telah memperoleh perintah pembangunan sebelum transaksi tukar hak milik tanah dilakukan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");