Berita Hari Ini

TeksiCoop Saingan Grab Dan Uber

JOHOR BAHRU: Menyedari dunia pengangkutan yang semakin kompetitif satu aplikasi mudah alih TeksiCoop dibangunkan bertujuan memberi persaingan sihat dalam mendepani arus pemodenan.

Aplikasi e-Hailing TeksiCoop adalah cetusan idea Koperasi Kasturi Johor Bahru dengan kerjasama syarikat Unireka Sdn Bhd yang membangunkan aplikasi itu sejak dua tahun lalu.

Pengerusi koperasi, Samsul Kahar Osman berkata pemandu teksi berdepan tekanan selepas kewujudan Grab dan Uber sejak dua tahun lalu yang menjejaskan hampir separuh pendapatan lebih 5000 teksi di Johor Bahru dan seluruh negara amnya.

“Kita tidak mahu mengeluh atau bertindak memboikot sebaliknya kita mahu bersaing sekaligus mengubah dari cara tradisional kepada sistem online.

“Kita tidak boleh terus-terusan berada di takuk lama, namun kita mohon pertimbangan agensi berkaitan teksi ini melakukan apungan dari syarat perkhidmatan dan membiarkan teksi bersaing dengan cara sihat dalam medium peruntukan yang sama seperti Grab dan Uber,”katanya menerusi laporan Sinar Harian, hari ini.

TeksiCoop yang mirip dengan aplikasi yang dibangunkan dua syarikat perkhidmatan pengangkutan itu akan memaparkan nama pemandu, nombor telefon, kenderaan, pihak pengurusan, jarak dan nilai bayaran.

“Pada masa ini penumpang boleh mendapatkan anggaran bayaran yang perlu dibayar kerana teksi masih terikat dengan surcaj RM2 serta penggunaan meter iaitu RM3 diikuti RM0.25 bagi setiap 110 meter.

“Perkara begini yang perlu diperincikan kerana harga yang kompetitif selain pemandu teksi perlu menjalani pemeriksaan kenderaan dan sebagainya,”katanya.

Selain itu, aplikasi tersebut juga memberikan maklumat kepada penumpang, masa menunggu, jarak dan cara pemanduan di dalam peta interaktif selain memilih daripada tiga jenis perkhidmatan teksi biasa, Teks1m dan Eksekutif dan menilai mutu perkhidmatan.

Katanya, aplikasi yang akan dilancarkan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ahad ini akan memberi impak positif buat pemandu teksi yang dijangka sebanyak 170 pemandu telah berdaftar.

“Tiada sebarang caj dikenakan, pemandu hanya memerlukan telefon pintar, data internet dan membeli kad top up serendah RM10 yang dimasukkan dalam e-Wallet.

“Manakala penumpang hanya perlu memuat turun aplikasi TeksiCoop di Apple Appstore dan Google Playstore dengan percuma bagi mendapatkan perkhidmatan,”katanya bandaraya Johor Bahru akan menjadi pelopor kepada perlaksanaan aplikasi ini.

Samsul Kahar berharap aplikasi ini dapat diperluaskan perlaksanaannya dan digerakkan menerusi gerakan koperasi di seluruh negara yang akhirnya manfaat koperasi adalah untuk kebajikan ahlinya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");