Sukan Hari Ini

Thiago Tak Kesal Tinggalkan Perak

KUALA LUMPUR: Tiada istilah kesal buat Thiago Junior apabila mengambil keputusan untuk meninggalkan Perak bagi menyertai FELDA United sekali pun dia bakal beraksi di Liga Perdana musim ini.

Bagi Thiago, jodohnya bersama Perak sudah terlerai meskipun rasa sayangnya terhadap pasukan itu masih menebal malah jika boleh mahu terus bersama The Bos Gaurus.

Namun, selepas menjadi milik FELDA United, dia mahu menumpukan sepenuh perhatiannya kepada pasukan itu dan berazam untuk membantu skuad bimbingan B Sathiantahan kembali ke Liga Super.

“Selepas tiga musim mewakili Perak, memang sukar untuk saya meninggalkan mereka. Apatah lagi impian untuk memenangi sekurang-kurangnya satu kejuaraan bersama pasukan itu tidak terlaksana.

“Selepas kontrak saya tamat pada penghujung musim lalu, saya menanti mereka membuat tawaran baru tapi selepas menunggu selama dua minggu, tiada apa-apa perkembangan.

“Kebetulan, FELDA United membuat tawaran lalu saya tidak berfikir panjang terus menerimanya,” ujar pertahanan kental berusia 33 tahun itu.

Begitupun menurut Thiago, FELDA United bukanlah pasukan bidan terjun untuk dirinya sebaliknya dia melihat peluang untuk merealisasikan impian memenangi piala lebih terbuka luas.

“Ada juga pasukan lain yang merisik tapi saya memilih FELDA United kerana lebih yakin dengan pengurusan, jurulatih serta pemain skuad ini.

“Sejak beberapa musim ini, mereka cukup konsisten. Saban tahun mereka meningkat, saya fikir mereka hanya menunggu masa untuk meraih kejayaan.

“Musim ini, walaupun akan bermain dalam Liga Perdana, FELDA United memiliki kualiti untuk menyaingi pasukan Liga Super dalam Piala Malaysia dan Piala FA,” katanya.

Justeru, selain menyasarkan trofi Liga Perdana, Thiago mahu memastikan The Fighters memenangi satu lagi piala sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan yang dialaminya ketika bersama Perak.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");