Berita Hari Ini

Tidak Ada Petanda Negara Akan Bankrap: PM Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam temubual di portal rasmi theRakyat berkata tiada sebarang petanda yang menunjukkan negara bakal mengalami kebankrapan.

Menerusi program Bicara Empat Mata, katanya, penarafan ekonomi yang diberikan kepada Malaysia masih lagi A- dan tinjauan yang stabil meskipun terdapat dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan hutang yang ditanggung negara ketika ini terlalu besar dan tidak terurus.

“Ini bererti kita berada dalam kelompok negara A. Ada banyak lagi negara yang berada dalam kelompok B dan C yang mana keadaan mereka jauh lebih dahsyat daripada kita.

“Kalau hendak kata kita bankrap, tentulah kelompok B dan C akan bankrap lebih awal daripada A, betul tak?

“Jadi tidak ada tanda-tanda yang kita nak bankrap dan rizab kita jauh lebih besar daripada rizab semasa krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dahulu,” katanya yang secara tidak langsung merujuk semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjawat jawatan perdana menteri, sebagaimana dilaporkan portal MalaysiaKini.

Malah, kata Najib, pertumbuhan ekonomi dan kedudukan kewangan setiap negara termasuk Malaysia sentiasa dipantau secara berkala oleh badan-badan penarafan antarabangsa oleh antaranya Moody’s, Fitch Ratings, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

“Pada ketika itu, kita punya rizab lebih kurang AS$20 bilion. Sekarang sudah lebih AS$100 bilion, maknanya lima kali ganda daripada keadaan rizab ketika itu.

“Kenapa ketika itu tidak timbul cerita rakyat Malaysia nak bankrap?

“Patutnya pada masa itulah, (ketika itu) nilai mata wang kita merudum, banyak syarikat bankrap, kenapa tidak timbul?” soalnya.

Pada wawancara itu, Najib juga menyentuh mengenai nilai ringgit, yang menurutnya, kerajaan telah mengambil langkah mengukuhkan fundamental ekonomi yang mana kesannya akan nampak ketara pada jangka masa panjang.

“Alhamdulillah, sebulan dua ini, kita sudah dapat melihat dasar kita memang ringgit semakin kukuh. Banyak yang kata ia akan terus meningkat lagi,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");