Isu Panas

Tidak Mudah Tun M Mahu Jadi PM Semula: Ku Li

SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, berdepan cabaran untuk kembali menjadi perdana menteri.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata bukan saja Dr Mahathir, mana-mana individu yang mahukan jawatan itu akan berdepan cabaran.

“Sebagai contoh dalam Pakatan Harapan. Mereka mungkin bersetuju supaya beliau (Dr Mahathir) menjadi Perdana Menteri seterusnya jika mereka berjaya mendapat sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum nanti.

“Namun, mereka mempunyai empat parti dan jika parti Tun Dr Mahathir (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) memperoleh kerusi terbanyak, mereka berpeluang menamakan pemimpin sendiri, maksudnya beliau (Dr Mahathir).

“Bagaimanapun, jika mereka hanya menang dua kerusi, atau empat kerusi, tidak mungkin mereka akan mendapat sokongan itu.

“Saya tak tahu kerana saya bukan ahli parti itu tetapi perkiraan ini yang harus kita lihat sebelum membuat pilihan dalam Parlimen atau Dewan Rakyat, sebelum mereka menetapkan siapa yang diyakini untuk menerajui kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan pada Forum Awam G25 2018 Program Pembaharuan Untuk Malaysia yang Progresif di sini, hari ini.

Pada masa sama, Tengku Razaleigh berkata, kuasa Yang di-Pertuan Agong juga penting kerana baginda yang akan memilih wakil rakyat untuk jawatan perdana menteri.

Katanya, walaupun Yang di-Pertuan Agong akan dinasihati siapa yang mendapat sokongan majoriti, baginda juga akan menggunakan pertimbangan sendiri sebelum membuat keputusan.

Ditanya adakah pemilihan semula Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri seterusnya akan memberi kesan buruk terutama kepada kebebasan akhbar dan bidang kehakiman, Tengku Razaleigh berkata, bekas Perdana Menteri itu sudah menunjukkan dirinya sebenar sepanjang memegang jawatan berkenaan selama 22 tahun.

“Beliau sekarang berusia 92 dan akan menjadi 93 tahun, adakah anda rasa dia akan berubah? Itulah persoalan yang ditanya oleh ramai orang. Mungkin beliau boleh berubah dengan panduan pemimpin lain dalam parti lain,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");