Berita Hari Ini

TPM Nafi Arah Halang Perjumpaan Tun M, Anwar

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan memberi arahan kepada Jabatan Penjara untuk menghalang perjumpaan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kuasa memberi kebenaran bagi sebarang pertemuan adalah tertakluk kepada pihak Penjara Sungai Buloh.

“Bukan kerana menteri (Menteri Dalam Negeri), kuasa itu kuasa dia (pihak penjara). Saya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada ketua jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN, di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa beliau tidak mendapat kebenaran daripada Jabatan Penjara untuk melawat Ketua Umum PKR itu, yang sedang menjalani rawatan pemulihan selepas pembedahan bahu kanan pada November lalu.

Dr Mahathir turut mendakwa Jabatan Penjara menerima arahan daripada Menteri Dalam Negeri supaya beliau tidak dibenarkan bertemu Anwar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar, menjelaskan keputusan untuk tidak memberi kebenaran itu datang daripada pihak Penjara Sungai Buloh dan bukan keputusan Timbalan Perdana Menteri.

“Jabatan Penjara dan Penjara Sungai Buloh tidak pernah menerima permohonan secara rasmi daripada Dr Mahathir atau pihak beliau bagi menemui Anwar. Kalau ada permohonan kita boleh pertimbangkan.

“Seksyen 26 Akta Penjara 1995 menetapkan, bila seseorang banduan berada di hospital, dia masih di bawah kawalan pihak penjara dan bidang kuasa masih di bawah pihak penjara.

“Kelulusan untuk berjumpa bergantung kepada kebenaran pegawai yang menjaga penjara terbabit dan bila mahu melawat, kita juga kena lihat sama ada banduan terbabit mahu atau tidak berjumpa pelawatnya,” katanya.

Beliau berkata, pihak penjara juga melihat kepada keperluan mendesak, sama ada perlukah perjumpaan itu diadakan dan kalau ada memberi kesan atau implikasi kepada penjara, pertemuan tidak akan benarkan.

“Kita juga bimbang kalau dibenarkan berjumpa akan timbul perkara kontroversi, malah turut melihat soal keselamatan banduan, bimbang wujud ancaman terhadapnya dan perkara yang tidak baik kesan pertemuan itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");