Berita Hari Ini

Trump Beri Kata Dua Kepada Palestin

DAVOS: Presiden Donald Trump pada Khamis mengulangi ancaman mahu menghentikan bantuan kepada Palestin sekiranya mereka tidak mahu mengambil bahagian dalam rundingan damai.

Trump menuduh Palestin tidak menghormati Amerika Syarikat (AS), dan atas alasan itu, soalnya, mengapa negara Uncle Sam itu perlu berbuat baik kepada mereka.

Bercakap pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Trump memaklumkan, AS membantu Palestin dengan ratusan juta dolar dan pelbagai bentuk bantuan setiap tahun.

Namun, beliau kecewa apabila pentadbiran Palestin tidak mengalu-alukan kehadiran Naib Presidennya di Baitulmaqdis dan enggan mengadakan pertemuan dengan Mike Pence.

“Wang bantuan sudah tersedia, namun ia tidak akan sampai kepada mereka (Palestin) sekiranya mereka enggan duduk di meja rundingan dan mula berbincang mengenai pelan damai,” kata Trump pada sidang media selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu lapor sumber agensi Astro Awani.

Keengganan Palestin berunding adalah berpunca daripada tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel Disember lalu.

Tindakan itu, tegas pentadbiran Palestin, menyebabkan mereka tidak lagi boleh menerima AS sebagai pengantara rundingan damai Asia Barat.

AS awal bulan ini mengumumkan menyekat peruntukan bernilai AS$65 juta kepada agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menguruskan bantuan kepada pelarian Palestin.

Pada 2016, Palestin menerima bantuan bernilai AS$260 juta daripada AS.

Israel bagaimanapun menerima peruntukan bantuan lebih tinggi dengan AS$3 bilion, yang mana ia melibatkan bantuan pertahanan tahunan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");