Isu Panas

Tun M Tidak Sesuai Ketuai Pembangkang Hadapi PRU

SHAH ALAM: Tindakan pakatan pembangkang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri, jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dibantah pemimpin akar umbi parti gabungan itu.

Ada di antara mereka menyifatkan keputusan memilih Dr Mahathir sebagai terburu-buru dan tidak sesuai dalam senario politik semasa.

Ketua Wanita PKR Melaka, Mahani Masban, berkata masih ada ruang untuk meneliti dan membincangkan semula pemilihan Dr Mahathir oleh kepemimpinan tertinggi pembangkang.

“Sewajarnya dalam mendepani politik masa kini, calon muda ditampilkan sebagai orang yang menerajui sebuah kerajaan, bukannya membawa kembali pemimpin lama.

“Sejak 1998, apa yang berlaku pada (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) sebagai Timbalan Perdana Menteri, seharusnya dijadikan titik tolak kepada sebarang keputusan yang diambil kemudiannya.

“Apatah lagi ketika ini Anwar masih dalam penjara,” katanya ketika diminta mengulas pengumuman Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri pembangkang pada konvensyen pakatan pembangkang di sini, hari ini.

Mahani menyifatkan keputusan yang diumumkan itu sebagai sangat pahit dan berharap baki masa yang ada menjelang PRU-14, perubahan masih boleh dibuat.

“Harapan baharu, suara baharu. Bila kita ambil semula yang lama, kita tidak akan mara ke hadapan,” katanya.

Ketua Wanita PKR Perlis, Fauziah Hamzah turut tidak bersetuju dengan pemilihan Dr Mahathir.

Beliau berkata, sepatutnya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipilih sebagai calon Perdana Menteri ketujuh.

“Berdasarkan rekod Azmin mentadbir negeri Selangor, melayakkan dia untuk menerajui Kerajaan Pusat, jika gabungan pembangkang menang PRU.

“Azmin meletakkan dirinya sebagai pimpinan yang banyak melaksanakan program untuk orang muda dan wanita. Azmin layak menjadi Perdana Menteri.

“Saya sangat berharap agar pengumuman hari ini menamakan anak muda sebagai Perdana Menteri. Azmin sudah menunjukkan kredibilitinya. Inilah permintaan wanita (PKR),” katanya.

Aktivis Reformasi 98, Shafiq Ali, pula tidak yakin Dr Mahathir akan memenuhi janjinya, jika dilantik kelak kerana bekas Perdana Menteri keempat itu dikenali sebagai seorang yang tidak menepati janji.

“Saya tidak menyambut baik pemilihan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sebab dia itu suka membuat pusingan-U,” katanya.

Sementara itu, Parti Amanah Negara (PAN) Johor mahu kepemimpinan gabungan parti pembangkang mengkaji dan menyemak semula agihan kerusi untuk parti bertanding di dalam pakatan berkenaan.

Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hassan, melahirkan kekecewaannya apabila parti berkenaan seakan dipinggirkan dan mendapat jumlah kerusi paling sedikit iaitu hanya 27 kerusi, berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendapat 52 kerusi.

Katanya, perbincangan lebih telus terhadap agihan kerusi perlu diadakan dalam gabungan itu demi memastikan kemenangan dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");