Jenayah

Untung Berjuta, Nak Minta Ganti Rugi RM1,500 Pun Susah

BANDARAYA MELAKA – Syarikat buat keuntungan berjuta-juta tetapi bila nak tuntut RM1,500 pun susah.

Ini antara keluhan nelayan terhadap syarikat yang bertanggungjawab bagi pembinaan jambatan baharu di Sungai Klebang di sini apabila enjin botnya ranap akibat terlanggar serpihan cerucuk besi yang masih tertanam di atas tapak bekas jambatan sementara, awal Januari lalu.

Nelayan terbabit, Nordin Mohd Yusof, 67, berkata, sehingga kini syarikat itu masih berdolak dalih tentang soal tuntutan ganti rugi meskipun ia telah dipersetujui ketika mengadakan perbincangan bersama Adun Klebang, Datuk Lim Ban Hong, sebelum ini.

“Bila saya hubungi, wakil syarikat itu di Melaka, mereka minta telefon pejabat di Kuala Lumpur, tetapi bila hubungi syarikat di Kuala Lumpur, mereka kata tanya pejabat di Melaka. Mana satu yang betul, akhirnya saya jadi macam bola.

“Saya sampai pinjam duit orang untuk baiki enjin bot yang kosnya mencecah RM1,500 malah salinan resitnya pun saya dah serahkan pada syarikat terbabit.

“Hari ini saya terdesak sebab perlu bayar balik wang yang saya pinjam, kalau tak pinjam saya pun tak dapat ke laut, sedangkan itulah satu-satunya mata pencarian saya,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Warisan di sini, hari ini.

Nordin juga menjelaskan, Ban Hong, sebelum ini ada menawarkan untuk membiayai kos berkenaan, sementara menantikan ganti rugi itu dijelas syarikat terbabit.

“Tetapi saya menolak atas alasan tidak mahu menyusahkan pemimpin itu, sebab selama ini beliau sudah banyak membantu. Lagipun, saya mahu pihak syarikat itu bertanggungjawab di atas perkara yang berlaku ini.

“Seperkara lagi, syarikat terbabit juga masih gagal mengalihkan saki baki cerucuk besi itu yang masih tertanam di dalam air. Kita bimbang jika ada bot nelayan yang akan terlanggar lagi,” katanya.

Sementara itu, Lim Ban Hong ketika dihubungi berkata, pihaknya turut kesal dengan syarikat terbabit yang dianggap seolah-olah umpama mahu mengelak daripada membayar ganti rugi tersebut.

“Saya pun, turut kesal dengan perkara ini, padahal kita sudah mengarahkan mereka membayar ganti rugi terhadap apa yang berlaku.

“Tetapi apa pun buat sementara, saya minta nelayan terbabit supaya menerima tawaran untuk kita dahulukan bayaran membaiki bot yang telah dikeluarkan sebelum ini,” katanya.

Syarikat terbabit hanya memasang pancang besi bagi mengelak bot nelayan terlanggar serpihan cerucuk besi di tapak jambatan sementara Sungai Klebang.

Sinar Harian awal Januari lalu melaporkan seorang nelayan mendakwa, nyawanya hampir terancam malah enjin bot yang dikemudinya turut pecah selepas terlanggar salah satu serpihan cerucuk besi bekas jambatan sementara di muara Sungai Klebang, di sini.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 petang sewaktu nelayan terbabit, Nordin Mohd Yusof, 67, memasuki muara Sungai Klebang sebaik pulang dari menangkap ikan.-Sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");