Berita Hari Ini

Wajar Laksana Semula Sekolah Aliran Inggeris: Bekas Pengarah Pendidikan N9

SEREMBAN: Usaha untuk memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris di negara ini merupakan satu cadangan yang baik dan wajar dipertimbangkan.

Bekas Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Kalsom Khalid secara peribadi berpandangan, langkah itu sejajar dengan era globalisasi masa kini yang serba mencabar dan tiada sempadan.

“Kita hendak mewujudkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global. Tapi tanpa kebolehan dan kompetensi dalam berbahasa Inggeris, rasanya agak sukar untuk mereka pergi lebih jauh.

“Kita perlu beri pilihan pada mereka. Ini satu cara untuk kita beri peluang pada pelajar sama ada hendak pergi kepada sekolah yang menggunakan bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris sebagai medium,” katanya, menerusi laporan Sinar Online, hari ini.

Tambahnya lagi, sekolah dua aliran bukan sesuatu yang asing di negara ini memandangkan pernah dilaksanakan suatu masa dahulu.

“Pada masa saya sekolah dulu, kita ada dua medium iaitu berbahasa Melayu dan berbahasa Inggeris.

“Terpulang pada ibu bapa untuk hantar anak masing-masing ke aliran mana satu yang dirasakan sesuai,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui baru-baru ini.

Kalsom yang juga merupakan Pengarah Matrix Global Schools bagaimanapun berkata, penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di sekolah kebangsaan tetap perlu diperkasakan.

“Saya amat berharap pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan pada hari ini dipertingkatkan dan diperkukuhkan,” katanya.

Media melaporkan sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon berkata, perlu ada penyelidikan dan perbincangan menyeluruh sebelum cadangan itu boleh dilaksanakan.

Menurutnya, pelbagai aspek perlu dilihat secara terperinci antaranya pertimbangan dan pandangan Penasihat Undang-Undang Kementerian Pendidikan dan pihak berkaitan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");