Jenayah

Warga Emas Cuba Seludup PATI

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan menahan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dalam operasi di Kampung Jelatok, Tanah Merah, semalam.

Turut ditahan dalam operasi jam 3.35 pagi itu, dua lelaki tempatan, termasuk warga emas berusia 67 tahun dipercayai tekong yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan pendatang asing yang berusia 21 tahun hingga 47 tahun.

Pengarah Imigresen negeri, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata serbuan dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) itu dilakukan hasil intipan terhadap sebuah bas ekspress yang membawa PATI terbabit dari Pulau Pinang sebelum turun di stesen bas Tanah Merah.

“Pasukan membuat pemantauan dan pemerhatian di stesen bas terbabit selama beberapa jam sebelum melihat dua kereta jenis Proton Wira dan Saga keluar, dengan masing-masing membawa tiga warga asing ke arah Pasir Mas.

“Pasukan memintas Proton Wira, yang dipandu lelaki berusia 67 tahun di tepi jalan di sebuah kedai alat ganti kereta di Kampung Jelatok, Tanah Merah.

“Pasukan juga cuba memberhentikan Proton Saga yang berada di belakang, namun gagal apabila pemandunya memecut dan membelok ke arah Taman Lagenda, Tanah Merah,” katanya lapor Berita Harian.

Wan Mohammed Saupee berkata, kenderaan itu bagaimanapun terbabas dan pemandunya yang luka di dahi serta tangan cuba melarikan diri ke dalam semak.

Beliau berkata, pasukannya berjaya menahan pemandu berusia 55 tahun itu bersama dua lelaki dan seorang perempuan warga asing, yang turut cedera berikutan kemalangan.

“Mereka yang cedera dihantar ke Hospital Tanah Merah, manakala yang selebihnya ditahan dan kenderaan dirampas untuk siasatan lanjut.

“Dua lelaki tempatan terbabit ditahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala PATI warga Myanmar disiasat mengikut Akta Imigresen 1959,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");