Berita Hari Ini

Waspada Dakwaan Hidup Merempat Di Laman Sosial

PETRA JAYA: Orang ramai perlu berhati-hati dengan pihak yang menyebarkan berita di laman sosial mengenai golongan miskin dan merayu orang ramai supaya memberi sumbangan kewangan melalui satu akaun bank peribadi yang didakwa bagi membantu golongan itu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ini kerana dakwaan pihak terbabit dikhuatiri hanya direka untuk mengambil kesempatan terhadap golongan miskin itu bagi memperdayakan orang ramai.

“Saya menerima maklumat tengah malam kelmarin berhubung penyebaran berita mengenai seorang ibu tunggal dengan dua anak kecil yang dilihat berkeliaran di satu tapak pembinaan di Kuching.

“Sejurus melihat berita yang disebarkan itu, saya meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri supaya segera menyiasat dan hasil siasatan itu mendapati wanita itu sebenarnya penerima bantuan kebajikan dari JKM dan dia bukannya tiada tempat tinggal kerana kakitangan kami yang menyiasat berita itu mendapati wanita terbabit berada di rumahnya di Kampung Tanjung Bundong, Kota Samarahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata wanita terbabit sebelum ini ada menerima bantuan JKM Sarawak tetapi dihentikan Julai tahun lalu kerana dia gagal melaporkan diri kepada jabatan itu bagi meneruskan pemberian bantuan kebajikannya.

“Ini disebabkan ibu tunggal itu kerap berpindah tempat tinggalnya sehingga saudara maranya juga tidak tahu di mana dia berada dan kami meminta wanita terbabit supaya memohon semula bantuan kebajikan dari JKM Sarawak serta memintanya supaya sentiasa memaklumkan tempat tinggalnya kepada orang lain.

“Saya juga meminta wanita terbabit supaya menjaga dua anak kecilnya dengan sebaik mungkin dan kami tidak teragak-agak akan menggunakan saluran undang-undang bagi memberikan perlindungan kepada anaknya jika didapati wanita terbabit mengabaikan mereka,” katanya.

Kisah wanita berkenaan yang didakwa tiada tempat tinggal kerana selepas bercerai dengan suaminya menjadi viral di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Malah, individu yang menyebarkan berita itu turut mendakwa permohonan wanita terbabit untuk mendapatkan bantuan kebajikan dari JKM Sarawak, ditolak.

Individu terbabit kemudiannya merayu sumbangan orang ramai dengan memasukkan wang ke dalam satu akaun bank miliknya supaya sumbangan terbabit dapat digunakan bagi membantu wanita berkenaan dengan segera.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");