JOHOR BAHRU: Seramai 35 individu dipercayai ahli kongsi gelap 360 mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke mahkamah sesyen, di sini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang itu sejak tiga tahun lalu.
Pengakuan itu direkodkan daripada semua tertuduh yang berusia 20 hingga 69 tahun itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Jailani Rahman.
Mengikut kertas pertuduhan, seramai 34 daripada mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Jin Jee Tong’.
Mereka adalah Seow Hwee Kiang, Lee Boon Hui, Fung Ka Siong, Chua Kah Tat, Mah Jia Fei, Lai Kah Fei, Wilson Chua Yue Hua, Lim Wen Hao, Eugene Chiam Tow Shen, Chan Chun Fei, Yap Boon Chuan dan Benny Chang Xin Hao.
Turut didakwa, Lau Fook Soon, Liew Yun Choy, Jacky See Jiin Long, Ng Zhen Lun, Ng Soon Kiat, Lim Heng Kiaw, Wong Jin Wei, Dinesh Balakrishnan, Sau Kah Kwee, Ong Hwee Hau, Lew Kai Yann, Kok Kat Ting dan Koh Xian Ming.
Selain itu berdepan tuduhan sama, Lim Thiam Poon, Eric Mah Wai Soon, Tan Hong Chai, Tan Chee Hong, Leong Wen Hao, Gan Jia Ji, Yip Kah Hao, Fong Ling Chiow, Leong Zhong Hen.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130 (1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun.
Selain itu Tan Xiang Wei, 22, didakwa membantu kumpulan jenayah terancang bagi mencapai kepentingan kumpulan itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan Akta 574 yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Semua mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara 1 Januari 2015 hingga 14 Januari lalu di sekitar daerah Johor Bahru.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Muhammad Fadzlan Mohd Noor.
Antara peguam mewakili tertuduh, Najib Zakaria, M Vinodharan, Jason Tan, Datin Freda Sabapathy, Melisa Abdul Kadir, Wan Zaleha Abdul Wahab, Wan Aizuddin Wan Mohd dan Muhammad Farhan Shafee.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
– Sinar Harian