Jenayah

AADK Laksana Kajian Tangani Dadah Jenis Baharu

KUALA LUMPUR — Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan melaksanakan kajian terperinci dalam menangani dadah jenis baharu seperti dadah sintetik dan New Psychoactive Substance (NPS) yang mampu membawa kesan yang sangat buruk kepada penagihnya.

Ketua Pengarah AADK Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata kajian berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia bagi mengenal pasti, seterusnya membasmi peningkatan penggunaan dadah jenis campuran itu dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata kesan penggunaan dadah sintetik dan NPS ini jauh lebih buruk daripada dadah biasa sehingga menyebabkan sesorang bertindak agresif dan hilang kawalan diri.

“Itu yang terjadi apabila seseorang yang ambil dadah campuran ini yang mana mempunyai dos yang sangat tinggi lalu menyebabkan mereka berkelakuan berbeza daripada orang lain dan di luar jangkaan.

Dadah sintetik dan NPS ini juga menyebabkan kerosakan kekal pada sistem saraf tunjang. Jelas, menunjukkan bahawa dadah ini meninggalkan kesan yang amat memudaratkan dan memerlukan satu tindakan holistik dalam menanganinya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen sambutan Hari Antidadah Kebangsaan ke-35 di Bangunan Mara, di sini, hari ini.

Menurut Abd Halim, NPS merupakan dadah jenis baharu yang memerlukan kajian yang banyak tentang kandungan serta kesannya terhadap pengguna.

“Ketika ini, ujian air kencing yang dilakukan terhadap penagih yang menggunakan dadah NPS hanya menunjukkan kandungan jenis ‘11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid’ (THC) atau ganja, jadi satu mekanisme baharu bagi mengesan dadah tersebut perlu diwujudkan,” katanya.

Selain itu, AADK turut menyeru lebih banyak agensi atau badan bukan kerajaan termasuk pihak media untuk memberi sokongan terhadap usaha menangani isu penyalahgunaan dadah di negara ini.

Ia selaras dengan seruan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyarankan agar pendekatan menyeluruh perlu digerakkan bagi menyeru pembabitan lebih banyak pihak dalam memerangi ancaman dadah.

Abd Halim berkata sehingga kini sudah terdapat beberapa agensi yang tampil memberikan sokongan terutamanya membabitkan usaha memperkasakan pendidikan kesedaran anti dadah.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk mencegah penyalahgunaan dadah dalam kalangan artis tempatan, beliau berkata pihaknya menyarankan mereka yang terbabit agar tampil untuk diberikan rawatan.

Sementara itu, Presiden Seniman Zed Zaidi yang turut hadir dalam program berkenaan berkata, pihaknya turut mendapat manfaat daripada program dan kempen anti dadah yang dijalankan AADK.

“Pihak kami ada membuat kajian dalam industri seni dan mempunyai data berapa ramai yang terbabit, namun ia tidak tinggi. Ia hanya minoriti sahaja,” katanya.

Kira-kira 30 anggota Skuad AADK berhimpun di hadapan Menara Mara sempena program berkenaan menyeru pengguna jalan raya membunyikan hon sebagai tanda sokongan terhadap kempen anti dadah.

–BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");