Membawang Hari Ini

Adzrin Hidap Kanser Ovari

PENYANYI pernah popular menerusi lagu Pujaan Malaya, Adzrin Adzhar kini berjuang untuk terus hidup selepas disahkan menghidap kanser ovari tahap dua sejak tiga tahun lalu.

Adzrin, 33, berkata, dia juga terpaksa menjalani pembedahan membuang ovari kanan apabila dia mengandung anak kembar luar rahim pada 2008.

“Saya reda dan pasrah dengan ketentuan Allah. Sejujurnya saya terkejut apabila disahkan menghidap kanser ini. Namun, apa kuasa dan daya saya untuk melawan takdir Allah.

“Sejak itu, saya sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan. Dalam masa sama, doktor juga sentiasa memberikan harapan yang saya akan sembuh.

“Meski orang kata, penyakit kanser ini peluang untuk sembuh tipis, tetapi saya tetap berfikiran positif. Saya hanya menjalani kehidupan seperti biasa dan mengikut jadual rawatan yang sudah ditetapkan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Adzrin yang juga anak kepada bekas Ketua Cawangan UMNO Bahagian Cheras, Datuk Adzhar Sulaiman, berkata, berjuang sebagai pesakit kanser banyak dugaan yang perlu ditempuh terutama membabitkan emosi.

Disebabkan itu, Adzrin seboleh-bolehnya tidak mahu dirinya berada dalam tekanan sehingga membuatkan dia lemah.

“Saya bukan saja berjuang untuk melawan sakit, tetapi perlu menghindarkan diri daripada sebarang tekanan. Tidak dinafikan ada ketika emosi terganggu, jadi saya perlu pandai kawal.

“Disebabkan itu, pesakit kanser seperti saya sangat memerlukan sokongan moral semua pihak. Macam saya, walaupun berasa sakit tetap perlu ceria. Saya tidak mahu sakit ini mengganggu kehidupan seharian,” katanya.

Adzrin yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Vokasional Gombak berkata, dia pernah menggunakan tongkat pergi mengajar.

“Saya tak nak terlalu manjakan diri dan tunjuk kesedihan depan orang lain. Walaupun sakit, saya tetap lawan dan teruskan aktiviti seharian,” katanya.

Adzrin yang berkahwin pada 2007 dikurniakan sepasang kembar perempuan Hana Jasmin dan Hana Dahlia, kini berusia setahun satu bulan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");