Isu Panas

Amanah Berbohong, Tidak Amanah – Azmin

SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam menempelak tindakan parti sekutunya yang mendakwa pembahagian kerusi di Selangor, masih belum dimuktamadkan.

Mohamed Azmin sebaliknya menegaskan, sudah ada jawatankuasa yang membincangkan pengagihan kerusi yang akan ditandingi parti komponen pakatan harapan di Selangor sebelum ini.

Katanya, jawatankuasa itu juga sudah bertemu sebanyak empat kali bagi membincangkan perkara terbabit termasuk isu yang berkaitan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Amanah berbohong! Apa yang Dr Mahathir (Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad) katakan ialah kami sudah ada satu jawatankuasa seperti negeri lain dan sudah bertemu sebanyak empat kali.

“Amanah (Parti Amanah Negara) tidak memberi tahu perkara sebenar. Mereka tidak amanah.

“Kami sudah bertemu selama empat kali untuk berbincang, cuma nama jawatankuasa sebelum ini (ialah) Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri Selangor. Sekarang mereka mahu menukarnya kepada Jawatankuasa Pengagihan Kerusi.

Ahli jawatankuasa sama

“Ahli jawatankuasa adalah orang yang sama. Sudah tentu belum dapat mencapai kata sepakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sebuah masjid baharu di Taman Tun Teja, Rawang tengah hari semalam.

Mohamed Azmin yang mengakui beliau yang mengetuai jawatankuasa itu, berkata perbincangan perlu diteruskan kerana amat penting untuk mencapai persefahaman dan persetujuan bersama dengan semua parti komponen dalam pakatan pembangkang berkenaan.

Katanya, pada ketika ini, sebanyak 80 peratus daripada kerusi di Selangor sudah ditentukan.

“Anda tidak boleh menjangkakan yang proses ini boleh diselesaikan dalam masa satu hari,” katanya.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan, Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim menggesa PKR Selangor terutama pengerusinya iaitu Mohamed Azmin untuk akur dengan arahan Pakatan Harapan untuk diwujudkan sebuah jawatankuasa khas membincangkan isu agihan kerusi di negeri itu.

Izham dilaporkan berkata, jawatankuasa itu perlu diwujudkan berikutan agihan semua kerusi itu perlu dimuktamadkan segera pada 7 Februari ini susulan keputusan pada peringkat Majlis Presiden.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");