Sukan Hari Ini

Apex Anggap Misi Hidup Mati Pasukan

KOTA BHARU – Khairul Fahmi Che Mat menganggap pertemuan Kelantan menentang Perak pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok, ibarat misi hidup mati pasukannya.

Penjaga gawang The Red Warriors itu mengakui pasukannya sangat terdesak mencari kemenangan sulung untuk kembali bersaing sekali gus keluar daripada kedudukan tercorot liga.

“Semua orang tahu kita tak pernah menang dalam tiga perlawanan lalu dan pertemuan menentang Perak sangat penting bagi Kelantan merealisasikan misi mengutip mata penuh di laman sendiri.

“Walaupun pertemuan ini agar sukar terutama selepas melihat Perak berada di landasan terbaik namun kita tak boleh cepat mengalah dan perlu gandakan usaha untuk mencapai kemenangan,” katanya lapor Sinar Harian.

Pemain berusia 29 tahun itu turut melihat motivasi rakan sepasukannya masih berada pada tahap tertinggi malah bersedia bangkit mempamerkan persembahan terbaik berdepan skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu.

“Kemasukan Mohammed Ghaddar ke kem Kelantan sudah pasti menyuntik motivasi tinggi dan kekuatan pasukan secara keseluruhannya untuk bertemu Perak,” katanya.

Mengulas lanjut, bekas penjaga gol kebangsaan itu memberitahu, isu penyingkiran ketua jurulatih, Sathit Bensoh sedikit pun tidak menjejaskan moral mereka untuk mengharungi saingan musim ini.

Malah menurutnya, barisan pemain memberikan kerjasama baik kepada pengendali sementara, Yusri Che Lah merencana strategi bagi memastikan misi meraih kemenangan terlaksana di hadapan penyokong sendiri.

“Kita ada masa dua minggu persiapkan pasukan dan di situ kita mengambil peluang bekerjasama dengan Yusri untuk membina semula pasukan. Alhamdulillah, saya nampak pemain mengikuti arahan jurulatih itu dengan baik,” katanya.

Dalam masa sama, Khairul Fahmi atau dikenali Apex turut mengingatkan rakannya berwaspada dengan ancaman bekas tiga pemain Kelantan iaitu Gilmar Jose da Silva Filho, Wanderluiz Bitencourt Junior dan Brendan Gan, pada pertemuan tersebut.

“Kita tahu kekuatan dan kelemahan mereka tetapi rakan-rakan juga perlu berjaga-jaga dengan jentera serangan Perak jika tidak mahu berputih mata di Kota Bharu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");