Sukan Hari Ini

Atlet Muay Thai Terkenal Dunia Bakal Berentap Di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Buat julung-julung kalinya, kejohanan muay thai bertaraf antarabangsa menampilkan atlet profesional sukan itu dari Thailand, Malaysia dan Eropah akan diadakan di Malaysia pada 5 Mei depan.

Dinamakan “KL Fight”, kejohanan muay thai profesional antarabangsa itu dijangka menarik kehadiran sehingga 10,000 peminat sukan mempertahankan diri itu ke Dataran Merdeka, tempat kejohanan itu akan berlangsung.

“KL Fight akan mengabungkan kehebatan atlet muay thai terkenal dunia dengan elemen hiburan dan kebudayaan bagi memastikan mereka yang hadir teruja, walaupun mereka bukan peminat sukan itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif “KL Fight” Mohd Faizul Mat Alewi lapor Bernama.

Selain menyaksikan pertembungan atlet-atlet profesional muay thai dunia yang diadakan secara terbuka, penonton juga akan disajikan dengan persembahan hiburan dan kebudayaan serta kehadiran kenderaan saji yang menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman.

Mohd Faizul berkata, “KL Fight” menerima sokongan penuh Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan Raja Boxing, syarikat pembuat alatan muay thai terkenal Thailand yang juga berpengalaman luas menganjurkan kejohanan antarabangsa sukan itu.

Menurutnya, penganjuran “KL Fight” Mei depan di Dataran Merdeka juga bakal meletakkan Kuala Lumpur sebagai pusat serantau untuk sukan mempertahankan diri itu yang mempunyai ramai pengikut di seluruh dunia.

Sementara itu, Pengarah “KL Fight” Mohd Hazrul Mohd Safri berkata, antara atlet muay thai terkenal Thailand yang bakal beraksi pada “KL Fight” ialah Saiyok Pumpanmuang, Sudsakorn Sor Klinmee dan Saenchai Sor Kingstar.

“Saenchai, salah seorang atlet Muay Thai terbaik di Thailand akan beraksi dalam perlawanan pertunjukan,” katanya.

Empat atlet Muay Thai terkenal negara jiran itu akan bergabung dengan empat atlet Malaysia menentang lapan peserta profesional sukan itu daripada Eropah yang kini berpangkalan di Thailand, katanya.

“Ia bakal menyaksikan pertembungan yang amat sengit antara benua Asia dan Eropah,” katanya.

Buat masa ini empat atlet Muay Thai Malaysia yang bakal beraksi pada “KL Fight” masih belum ditentukan, katanya dan menurutnya kejohanan antarabangsa itu juga akan menjadi batu loncatan kepada atlet negara untuk maju ke hadapan dalam karier mereka.

Ini kerana, katanya, wakil-wakil syarikat promoter terkenal di Thailand akan turut hadir di “KL Fight” untuk mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Mohd Hazrul berkata, “KL Fight” juga berkemungkinan akan melebarkan sayapnya ke seluruh Malaysia berikutan minat mendalam ditunjukkan beberapa negeri untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");