Isu Panas

Azmin Khianati Amanah Rakyat

KUALA SELANGOR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dianggap sebagai Menteri Besar Selangor yang paling ‘berjaya’ dalam sejarah pentadbiran negeri ini apabila mengamalkan sikap lepas tangan hingga membiarkan tanah milik rakyat dijual kepada sebuah syarikat pemaju dengan harga RM1.18 bilion.

Sindiran sinis itu dilemparkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar selain menyifatkan tindakan kerajaan negeri dalam isu tersebut seolah-olah satu pengkhianatan kepada rakyat sekali gus memungkinkan Mohamed Azmin cuba mencari keuntungan tertentu di sebalik penjualan tanah berkenaan yang dianggarkan seluas 880 hektar di Mukim Ijok.

Lebih malang menurut Noh, kerajaan negeri dilihat turut gagal secara adil membela nasib kira-kira 981 peneroka asal apabila tuntutan mereka untuk mendapatkan pampasan wang tunai termasuk sebuah rumah seperti yang dijanjikan dinilaikan mengikut harga pada tahun 2000, bukannya berasaskan kepada harga semasa.

“Rakyat sebenarnya boleh lihat banyak masalah serta isu timbul selepas Mohamed Azmin menjadi Menteri Besar Selangor. Kita boleh lihat setiap kali masalah berlaku, beliau mengambil jalan mudah sama ada berdiam diri atau me­nyalahkan orang lain.

“Dalam isu tanah di Mukim Ijok ini sebagai contoh, yang bersetuju supaya tanah milik kerajaan negeri itu diserahkan kepada dua syarikat swasta sebelum dijual kepada sebuah syarikat lain pada harga RM1.18 bilion adalah Menteri Besar (Mohamed Azmin) sendiri. Apabila kita (BN) dan bekas Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) bersuara, beliau tuduh isu itu kononnya komplot bersama UMNO,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rabu lalu, Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menuntut Mohamed Azmin memberi penjelasan me­ngapa beliau tergesa-gesa membenarkan dua syarikat swasta menjual tanah di Mukim Ijok bernilai RM1.181 bilion kepada sebuah syarikat lain sebelum proses di Mahkamah Persekutuan selesai dijalankan.

Menurutnya, tanah itu sebelum ini adalah milik dua syarikat terbabit iaitu LBCN Development Sdn. Bhd. (LBCN) dan Mujur Zaman Sdn. Bhd. (MZSB) pada 1998 namun telah dirampas kerajaan negeri pada 2008 di bawah Kanun Tanah Negara kerana melanggar syarat dan terma perjanjian.

Dalam pada itu, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mempersoalkan tindakan Mohamed Azmin yang memberikan kebebasan kepada LBCN dan MZSB menjual tanah tersebut kepada pihak ketiga walhal kedua-dua syarikat itu melanggar syarat perjanjian sebelum ini termasuklah gagal menyelesaikan pampasan kepada para peneroka.

– Utusan Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");