Berita Hari Ini

Bahaya Daun Sirih, Buah Pinang

Kuala Lumpur: Tabiat memakan daun sirih dan buah pinang sebenarnya boleh mengundang bahaya sekali gus menyebabkan kanser mulut dan kerongkong.

Ketua Koordinator Pusat Kajian Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS) Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin yang mengakui perkara itu berkata, kandungan arekolin dalam sirih dan pinang boleh membuatkan seseorang ketagih.

“Seperti tembakau, nikotin yang terkandung di dalamnya adalah faktor ketagihan. Sama juga dengan sirih dan pinang yang mengandungi arekolin.

“Arekolin adalah alkaloid yang toksik dan bertindak sebagai agonis ke atas sistem saraf.

“Pengambilan yang berlebihan menjadi risiko kepada kanser dan sudah dikategorikan sebagai karsinogen (bahan yang membentuk kanser) kepada manusia,” katanya, menerusi laporan Harian Metro.

Menurutnya, penggunaan sirih dan pinang semakin meluas di rantau Asia Pasifik seperti India, Bangladesh, Myanmar, Sri Lanka, Taiwan, Kemboja dan Malaysia.

“Di Malaysia, terdapat 10.3 peratus pemakan sirih dan pinang. Daripada angka ini, pengguna teramai adalah daripada golongan wanita iaitu sekitar 32.1 peratus berbanding lelaki, 10.3 peratus.

“Apa yang membimbangkan, kajian di India membuktikan semua kes kanser mulut berlaku dalam kalangan mereka yang makan sirih dan pinang,” katanya.

Beliau yang juga Pakar Psikiatri dan Pakar Berhenti Merokok di Pusat Pakar Universiti Malaya berkata, risiko mendapat kanser mulut akibat mengambil sirih dan pinang lebih tinggi berbanding pengguna tembakau.

“Dianggarkan risiko keputihan di bahagian pipi dalam (oral lichen planus) terjadi 15.8 kali kerana makan sirih dan pinang manakala kebonjolan (nodular leukoplakia) adalah 3,243.1 kali.

“Ini semua adalah punca atau faktor pada peringkat awal untuk seseorang mendapat kanser mulut,” katanya.

Katanya, tabiat memakan daun sirih dan buah pinang juga dikaitkan dengan kesan kesihatan kepada jantung, saraf, perut atau usus, pernafasan dan sistem reproduktif.

“Bagi pengguna tembakau, konsep dan model menerangkan proses karsinogen didokumentasikan dengan baik bagi mengelakkan masalah kesihatan lain.

“Namun, bagi pemakan sirih dan pinang, model atau konsep sama tidak dibangunkan sehingga mereka tidak tahu kesan yang akan diperoleh,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");