Jenayah

Bekas Pengurus Didakwa 28 Pertuduhan Pecah Amanah

TEMERLOH: Seorang bekas pengurus operasi cawangan pos ar-Rahnu didakwa hari ini di Mahkamah Sesyen di sini, atas 28 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM440,409 tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Abdul Malik Awang, 30, dari Taman Sempalit Permai dekat sini, yang sebelum ini bertugas di cawangan ar-Rahnu Mentakab, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.

Mengikut pertuduhan, dia yang diamanahkan menyimpan barang gadaian pelanggan, melakukan pecah amanah, iaitu secara curang menggunakan barang gadaian pelanggan demi kepentingan peribadi.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu dalam tempoh Julai hingga Disember tahun lalu.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun serta dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan lapor Berita Harian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim yang kemudian meminta mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat.

Tertuduh yang diwakili peguam Wong Peng Shen, dalam rayuan meminta mahkamah mengenakan jaminan minimum kerana perlu menyara ibu bapanya yang tidak bekerja, selain sudah tiada pendapatan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi setiap pertuduhan, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Hakim kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 7 Mac depan.

Keterangan gambar: Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Temerloh selepas mengaku tidak bersalah atas 28 pertuduhan pecah amanah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");