Berita Hari Ini

Beratus Penumpang Terkandas Beberapa Jam Di Hentian Duta

KUALA LUMPUR: Lebih 300 penumpang bas yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Tahun Baharu Cina terkandas beberapa jam malam ini apabila bas yang ingin mereka naiki tidak muncul di Hentian Duta di sini seperti yang dijadualkan.

Ini dipercayai gara-gara pemandunya cuba mengelak daripada diperiksa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Memetik laporan Bernama, Pengurus Besar Kanan, Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata pemeriksaan di bawah Op Serkap mendapati kira-kira 10 bas tidak tiba pada waktu yang ditetapkan sejak 8 malam.

“Mereka mungkin ingin mengelak daripada diperiksa SPAD kerana dipercayai tidak mempunyai Lesen Perubahan Sementara (LPS) atau kesalahan lain,” katanya pada sidang media mengenai operasi itu di hentian berkenaan.

Che Hasni berkata Op Serkap dari 9 hingga 25 Feb itu dilancarkan di semua terminal bas bagi memastikan keselamatan penumpang bas ekspres.

Katanya, setakat ini, SPAD telah mengeluarkan 146 saman bagi pelbagai kesalahan, selain menyita lima kenderaan, termasuk bas dan teksi.

Ketika dihubungi kemudian, Che Hasni berkata enam bas muncul selepas 11 malam.

Pembantu di sebuah klinik pergigian di Jinjang, Suffi Liyana Subian, 24, berkata bas yang dijadual tiba pada 8.30 malam tidak muncul untuk membawanya pulang ke Sungai Petani, Kedah.

Penumpang itu berkata beliau membeli tiket bas berkenaan secara dalam talian dua hari lepas pada harga RM60 dan ini pertama kali beliau mengalami kejadian sedemikian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");