ARAU: Pengundi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) digesa memilih parti yang mengamalkan pendekatan kasih sayang, bukannya mereka yang memperjuangkan politik kebencian dan dendam.
Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata politik berasaskan kasih sayang adalah asas penting dalam membina kepemimpinan yang baik dan Barisan Nasional (BN) adalah parti yang mengutamakan kasih sayang.
“Kita ikhlas dalam perjuangan…kita bersama dengan rakyat dalam tempoh yang lama.
“Kerajaan yang ada pada masa ini menggunakan pendekatan berkasih sayang dalam menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Program Jentera Jalinan Rakyat (JR) Parlimen Arau, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shahidan, yang juga Ahli Parlimen Arau menasihatkan orang ramai supaya tidak memperjudikan nasib negara dengan memilih parti yang mengamalkan politik kebencian.
“Politik kebencian ini akan membawa kemusnahan kepada negara. Rakyat akan saling membenci antara satu sama lain.
“Seseorang itu tidak layak menjadi pemimpin jika dia benci rakyat dan rakyat membencinya.
“Dulu, kita sering dinasihati seseorang selepas itu dia bertukar menjadi pendengki dan pendendam. Itu bukan caranya…kerana kehidupan perlu diakhiri dengan kasih sayang,” katanya.
Sementara itu, Shahidan berkata, seramai 1,300 JR di Arau sudah mendekati 90 peratus penduduk Arau.
“Misi mereka adalah memastikan semua kerusi di Arau yang dimenangi pada PRU lalu dapat dipertahankan dan pada masa sama, berusaha keras merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang,” katanya.-BH