Berita Hari Ini

BR1M Elak Ketirisan – PM

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak menegaskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan bermotifkan politik atau kepartian, sebaliknya membantu golongan yang benar-benar berkelayakan bagi mengelak ketirisan lebih besar.

Perdana Menteri berkata, cadangan memperkenalkan BR1M pada tahun 2012 bukan melalui dirinya atau parti politiknya, sebaliknya oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selepas kaedah pemberian subsidi berpukal diamalkan sejak sekian lama ditegur Bank Dunia.

Katanya, BNM mencadangkan supaya kaedah subsidi bersasar dilaksanakan bagi menggantikan subsidi pukal yang berlaku ketirisan antaranya barangan bersubsidi seperti petrol RON 95 turut dinikmati warga asing, pelancong dan hanya menguntungkan golongan berpendapatan tinggi memiliki kenderaan berkuasa besar.

“Ini tidak adil kepada orang berpendapatan rendah, Bank Dunia menegur dan minta supaya dasar berkenaan diubah…ia diberitahu kepada saya dalam taklimat oleh Bank Negara pada tahun 2011 dan saya boleh sahkan bahawa ini (BR1M) tiada kaitan kepartian.

“Kalau nak beli undi kita hanya bagi kepada puak-puak kita sahaja tetapi semua dapat termasuk di negeri ditadbir pembangkang, negeri ditadbir pembangkang adalah penerima tertinggi BR1M dan kita pilih penerimanya bergantung kepada pendapatan,” katanya berucap melancarkan BR1M peringkat kebangsaan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah pada Ahad lapor Berita Harian.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyampaikan fasa pertama BR1M kepada 2,000 penerima pada majlis berkenaan.

Najib juga berkata, BR1M turut merangsang ekonomi negara yang antara asas untuk meningkatkannya adalah melalui peningkatan ekonomi domestik menerusi perbelanjaan dilakukan penerima antaranya untuk barangan keperluan harian.

“Negara lain pun hendak buat, ada negara terus masuk akaun dan ada negara di Asia Barat naikkan harga minyak 126 peratus dan kemudian bayar semula kepada rakyat.

“Sebab itu bila orang kata kita bagi dedak dan ‘cash is king’, itu semua mengarut…sebab apa? Zaman dia tidak buat tetapi zaman saya beri kepada rakyat.

“Kalau tidak suka BR1M, tolong beri cadangan lebih baik untuk hendak tolong B40 bukan hanya hendak mengkritik semata-mata,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kadar bantuan BR1M yang dinaikkan sehingga RM1,200 membuktikan Barisan Nasional (BN) menepati janji yang dibuatnya dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu.

“Kita janji hendak naikkan daripada RM500 kepada RM1,200 dan berjaya menunaikannya…Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Ahmad Zaki Ansore yang memantau janji kita mendapati 97.6 peratus daripadanya berjaya ditunaikan.

“Saya ini bukan jenis janji perkara tidak boleh tunaikan, saya tidak akan buat kenyataan yang pihak kita akan kaji semula kaji macam orang itu yang kata hendak kaji semula 60 peratus daripada janji dalam manifesto,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");