BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi saranan supaya umat Islam yang ingin mewakafkan sebarang hartanah hendaklah melakukan pendokumentasian mengikut perundangan atau melalui Baitulmal.
Katanya tindakan tersebut perlu agar tanah yang diwakafkan tidak menimbulkan sebarang masalah mengenai hak tanah tersebut kelak selepas pihak pewakaf meninggal dunia.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Agama Rakyat Al-Ridzuan di Parit 19 Batu 14 di sini hari ini.
“Tanah wakaf di seluruh negara semasa saya Menteri di Jabatan Perdana Menteri nilai tanah wakaf 2009 mengikut nilai pasaran sekitar RM9 bilion dan dianggarkan pada tahun 2018 nilainya mungkin lebih 30 peratus hingga 50 peratus.
“Tanah wakaf tidak boleh dibangunkan kerana ia terbahagi kepada dua wakaf khusus untuk kubur, masjid atau surau dan wakaf am yang boleh dibangunkan namun terhalang juga kerana pewaris masih menuntut.
“Tindakan dilakukan jabatan haji dan wakaf melihat supaya wakaf khusus surau masih boleh dibangunkan untuk perojek berkaitan asalkan suraunya ada terutama tanah dilokasi bernilai tinggi, tanah bernilai RM9 bilion jika tak dibangunkan akan jadi tanah terbiar dan dapat dimanfaat tujuan para pewakaf,” katanya.
Jelasnya Yayasan wakaf telah diwujudkan melihat penyelarasan boleh dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam dan Jabatan Agama negeri setelah mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.
“Saya mahu melihat masalah tanah wakaf diselesaikan kerana saya sendiri mengalami secara peribadi mengalami masalah mengenai tanah wakaf.
“Perkara yang berkaitan dengan perundangan jangan hanya berdasarkan pada niat dan didokumentasi melalui perundangan Kanun Tanah Negara, Baitulmal atau mengikut pengurusan jabatan agama setiap negeri.
“Kita tak mahu anak-anak pewakaf akan muncul menuntut hak kerana tiada dokumen rasmi mengenainya,” katanya.
Beliau yang tiba sekitar jam 6.20 petang tadi turut beramah mesra bersama kakitangan sekolah dan murid-murid di sekolah tersebut.
Dalam lawatan itu beliau turut meninjau sekitar sekolah yang mempunyai enam kelas dengan jumlah pelajar keseluruhan 127 orang.
Zahid kemudiannya melawat kedai koperasi milik Masjid Ubudiah Parit 19 dan menjamah jamuan petang bersama penduduk kampung.