Sukan Hari Ini

Contohi Cara Harimau Selatan: FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menyarankan supaya persatuan bola sepak negeri atau kelab yang bersaing di pentas Liga Malaysia (Liga-M) 2018 menyediakan marsyal yang bertanggungjawab menjaga keselamatan penonton di stadium.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pendekatan Kelab Bola Sepak JDT menyediakan marsyal di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos wajar dicontohi semua pihak dalam menitikberatkan aspek keselamatan penyokong tuan rumah dan pelawat.

Zulkifli menjelaskan marsyal bertugas berperanan memastikan keselamatan penyokong tuan rumah dan pelawat.

“Marsyal yang dilantik JDT banyak mengurangkan beban Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama dari segi bilangan anggota di stadium kecuali perlawanan akhir.

“Mereka ini hanya terdiri daripada orang awam sebenarnya tapi disebabkan faktor hubungan rapat dengan penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan, marsyal boleh bertindak sebagai penasihat sekali gus mampu halang penyokong yang ingin membuat kekecohan.

“Saya percaya dengan adanya marsyal ini ia akan membantu FAM mahupun PDRM yang letakkan sasaran agar tiada lagi kekecohan atau provokasi di stadium sepanjang musim ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan FAM, di Wisma FAM semalam memetik laporan Sinar Harian.

JDT merupakan satu-satunya kelab yang menubuhkan marsyal pada tahun 2015 dan pelaksanaan itu amat efektif dalam membendung perkara yang tidak diingini ketika perlawanan.

“Untuk memastikan setiap marsyal anggota yang berkualiti, PDRM akan membantu dengan memberi mereka latihan dan kursus. Kita juga akan meminta bantuan daripada JDT dalam perkara ini.

“Jawatankuasa memandang berat aspek keselamatan kerana kita mahu perlawanan liga berjalan lancar dan penyokong dapat menikmati perlawanan dalam keadaan selesa. Tahun lepas insiden atau rusuhan yang berlaku tidak terlalu serius tapi kalau boleh kita amat berharap tahun ini perkara itu tidak akan berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM turut menyeru pengurusan setiap stadium menyediakan kerusi bernombor bagi mengelak limpahan penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan.

“Kebanyakan tempat duduk di stadium tiada nombor, ini menyebabkan jumlah kedatangan penyokong melebihi jumlah kapasiti stadium tersebut dan menyebabkan kesukaran pegawai keselamatan mengawal keadaan itu.

“Jika terdapat nombor di setiap tempat duduk maka sudah pasti ia akan memudahkan lagi tugas kami,” ujarnya.

Selain itu, satu bengkel keselamatan turut akan diadakan bagi memberi input kepada semua pihak berkaitan keselamatan,

“Seramai 150 orang akan dijemput yang terdiri daripada wakil persatuan, pengurus stadium dan beberapa penyokong.

“Kita juga akan menjemput pakar yang mengetahui selok belok pengurusan keselamatan di stadium untuk memberi penerangan,” jelasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");