Berita Hari Ini

CPI Tidak Beri Gambaran Tepat – SPRM

KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 tidak mencerminkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata kedudukan itu tidak selari dengan usaha pihaknya menangani rasuah melalui operasi dan penguatkuasaan secara berterusan.

Katanya, Malaysia sepatutnya diletakkan pada kedudukan lebih baik jika mengambil kira tindakan agresif dan tangkapan ke atas individu yang terbabit dalam kegiatan rasuah.

“Apabila indeks ini dikeluarkan, ia tidak memberi gambaran tepat dengan tindakan diambil SPRM sendiri seperti membuat tangkapan yang agresif sejak 2017,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), di sini, hari ini.

Mengikut laporan indeks yang dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M), semalam, Malaysia berada di tangga ke-62 daripada 180 negara berbanding ke-55 daripada 176 negara pada 2016.

Malaysia mencatatkan skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI tahun lalu, menurun dua mata berbanding 49 pada 2016.

Skor dalam CPI ditentukan menurut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala ‘kosong’ (dianggap paling rasuah) kepada 100 (paling bersih).

Dzulkifli berkata, kajian dijalankan oleh Transparency International yang berpangkalan di Berlin, Jerman, itu tidak hanya memfokuskan kepada rasuah sebagai subjek kajian, sebaliknya isu berkaitan hak asasi manusia, senario politik dan kestabilan menjalankan perniagaan di Malaysia.

Katanya, perkara itu secara amnya tidak berada dalam lingkungan tugas SPRM yang memfokuskan kepada usaha membanteras gejala rasuah.

“Bagi saya, kalau melihat tindakan yang dilakukan pada 2017, kita bukan hanya menumpukan kepada penguatkuasaan, malah usaha mendidik masyarakat sebagai langkah pencegahan.

“Kalau diikutkan realiti dalam negara, sepatutnya indeks berkenaan berada lebih baik berbanding 2016 dan sebab itu saya terkejut dengan penemuan yang dibuat oleh TI-M kerana tidak selaras dengan tindakan SPRM,” katanya.

Beliau juga berkata, SPRM bercadang untuk mewujudkan Indeks Rasuah Khas bagi mengenalpasti prestasi dan situasi rasuah di negara ini.

“Cadangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat penasihat SPRM sebelum diserahkan kepada jemaah menteri,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");