Berita Hari Ini

Dana Korporat Kepada Parti Politik Buka Ruang Rasuah

SHAH ALAM – Pemberian dana oleh badan korporat sebagai sumber kepada parti politik membuka ruang kepada rasuah dan salah guna kuasa.

Menurut Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathi Yusof, berbanding sumber dana daripada sumbangan ahli dan penyokong serta subsidi kerajaan, pemberian dana oleh badan korporat begitu terdedah kepada aktiviti tidak bermoral itu.

“Daripada ketiga-tiga sumber dana, cara yang ketiga terdedah kepada rasuah atau salah guna kuasa. Apa tujuan badan korporat memberikan wang kepada parti politik? Apa yang diharapkan daripada ‘derma’ itu? ,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat andaian umum yang menganggap sumbangan badan korporat adalah untuk mendapatkan balasan apabila parti yang disokong itu menang.

“Jika berlaku demikian maka ia adalah rasuah, atau disebut dengan istilah ‘kick back’. Sebab itulah negara demokrasi sebenar menetapkan peraturan ketat berkaitan sumbangan badan korporat kepada parti politik,” katanya.

Tambahnya, di negara demokrasi sebenar terdapat undang-undang yang mewajibkan parti dan badan korporat mengisytiharkan sumbangan.

“Terdapat juga larangan sumbangan daripada syarikat atau badan korporat yang mendapat projek kerajaan. Perbelanjaan parti politik juga dikawal ketat oleh badan pengendali pilihan raya,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Fathi berkata, semua kawalan tersebut tidak dapat wujud di Malaysia yang menyebabkan parti politik bebas menerima dana daripada sesiapa sahaja.

“Tiada syarat untuk isytihar penerimaan dan pemberian dana politik. Parti pemerintah boleh menerima dana daripada syarikat yang menerima projek kerajaan.

“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) pula tiada kuasa mengawal pendapatan dan perbelanjaan parti politik. Had perbelanjaan calon pilihan raya langsung tidak mampu mengawal perbelanjaan parti politik.

“Ringkasnya kawalan ke atas dana parti politik di Malaysia terlalu longgar, atau sebenarnya, langsung tiada,” kata beliau lagi.

Oleh itu, kata Muhammad Fathi, sehingga kini kita tidak mampu menjawab soalan yang fundamental, ‘Dari manakah datangnya wang parti-parti politik di Malaysia?.

“Apakah yang dapat menjamin parti-parti politik Malaysia tidak terlibat dalam penyelewengan dana politik? Apa jaminan wang rakyat selamat dari rasuah politik?

“Agaknya bila soalan-soalan ini dapat dijawab dengan sejujurnya,” katanya.-Sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");