Jenayah

Dua Blok Bangunan Kayu SK Sentosa, Tawau Terbakar

TAWAU: Dua blok bangunan kayu Sekolah Kebangsaan (SK) Sentosa, di sini, musnah dalam kebakaran, tengah hari tadi.

Kebakaran bermula pada kira-kira jam 12.15 tengah hari itu memusnahkan pejabat, bilik guru, pusat sumber, dewan mini, bilik agama Islam, bilik skim pinjaman buku teks (SPBT) serta beberapa kelas Tahun Satu hingga Tiga.

Bagaimanapun, tiada murid atau guru dilaporkan cedera kerana ketika kejadian sebahagian besar mereka sudah pulang selepas sesi persekolahan berakhir pada jam 11.20 pagi.

Kejadian itu bagaimanapun menyebabkan ratusan murid sesi petang SK batu 4 yang terletak bersebelahan SK Sentosa, bertempiaran melarikan diri berikutan asap tebal serta api yang marak membakar kedua-dua bangunan kayu berkenaan.

Saksi kejadian, Rosdiana Mala, 41, yang juga pembantu tadbir di SK Sentosa, berkata ketika kejadian sebahagian besar murid dan guru sudah pulang.

“Ketika kejadian, saya berada di pejabat sebelum nampak asap hitam di ruang pejabat disusuli jeritan murid menyebabkan saya bersama beberapa guru dan petugas sekolah keluar menyelamatkan untuk diri.

“Api merebak dengan cepat dan tidak sampai 30 minit, dua blok bangunan kayu sekolah ini musnah sama sekali,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian lapor Berita Harian.

Guru Besar SK Sentosa, Sofiah Mohd Ali, berkata sekolah berkenaan ketika ini menumpang bersebelahan blok SK Batu 4 dan sepatutnya mereka akan berpindah ke tapak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabota, di sini, mulai 5 Mac ini.

“Walaupun sedih kerana banyak peralatan dan barangan berharga termasuk komputer riba, dokumen serta fail pentadbiran musnah akibat kebakaran, saya tetap bersyukur kerana semua murid dan guru selamat,” katanya.

Sekolah berkenaan mempunyai 139 murid, 23 guru serta tiga kakitangan bukan mengajar.

Ketua Balai Bomba Tawau, Sharudi Delamin, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.28 tengah hari sebelum menghantar sepasukan 19 anggota bersama empat jentera yang tiba di lokasi pada jam 12.40 tengah hari.

“Api berjaya dikawal pada jam 1.07 tengah hari dan bomba juga berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke sebuah lagi bangunan kayu sekolah berkenaan. Punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");