Jenayah

Guna Nombor Telefon Kerabat Jual Darjah Kebesaran

KUANTAN: Suspek yang menjadi dalang sindiket penjualan gelaran darjah kebesaran yang tidak wujud di negeri ini didapati menggunakan nombor telefon milik seorang daripada kerabat Pahang yang telah meninggal dunia.

Memetik laporan Sinar Online, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Jamaludin Kudin berkata, suspek berkenaan juga mendakwa dirinya sebagai kerabat berkenaan dan mempunyai pertalian rapat dengan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah untuk memperdaya mangsa.

“Siasatan awal polis mendapati suspek yang berusia 40-an itu dan seorang rakannya baru sahaja hendak mencuba melakukan aktiviti itu menerusi laman sosial.

“Suspek mereka-reka cerita (dengan menyamar sebagai kerabat) supaya orang tertarik dan menghubunginya untuk membeli gelaran ‘Datuk’ serta ‘Datuk Seri’,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Induksi Menunggang Motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan penyerahan motosikal URB Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Polis sebelum ini telah menahan dua orang termasuk seorang wanita berusia 39 tahun dalam satu serbuan berasingan di Kuala Lumpur dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual gelaran ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’ yang tidak wujud dengan nilai antara RM180,000 hingga RM400,000.

Bagaimanapun, Jamaludin berkata, siasatan setakat ini mendapati belum ada individu yang menjadi mangsa kepada kedua-dua suspek berkenaan kerana kegiatan itu baru bermula.

Menurutnya, pihak polis juga akan mempersembahkan perkara ini kepada Sultan Pahang sebelum tindakan lanjut diambil.

Sementara itu, seramai 88 anggota berjaya menamatkan kursus berkenaan yang dilakukan secara berperingkat dalam empat siri latihan bermula 21 Jan lepas.

Ia diadakan bagi menambah ilmu pengetahuan serta panduan kepada anggota URB dalam melaksanakan tugas dan mengendalikan motosikal.

Pada majlis itu, Jamaludin turut menyerahkan sebanyak 88 motosikal jenis Kawasaki Z250 kepada semua daerah termasuk Jerantut yang sebelum ini tidak mempunyai URB dalam usaha untuk mengurangkan indeks jenayah dan menjaga keselamatan masyarakat dengan lebih berkesan.

Sebelum ini, katanya kontinjen Pahang hanya mempunyai 169 motosikal URB.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");